fbpx

Rindu sebarau sentap mata kail

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IKAN sebarau yang berjaya dijinak Suhairi di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu baru-baru ini.

HUJUNG tahun amat ditunggu-tunggu oleh Suhairi Mohammad, 43, dan rakan-rakan untuk kembali menguji skil memancing di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

Sasaran mereka pastinya memburu ikan sebarau yang terkenal dengan sifatnya kuat melawan apabila terkena mata kail, sekali gus memberi cabaran dan kepuasan hebat buat memancing.

“Bulan November hingga Januari setiap tahun merupakan musim sebarau. Populasi spesies tersebut akan memenuhi Tasik Kenyir sepanjang tempoh itu.

“Ikan tersebut keluar dari habitat asalnya di kawasan jeram dan air terjun berikutan fenomena kepala air dan hujan lebat pada musim tengkujuh,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Suhairi berkata, dia dan rakan-rakan meminati memburu ikan sebarau bukan sekadar kerana isinya yang enak dan eksotik.

Jelas lelaki yang berasal dari Bukit Payung, Marang itu, kelincahan dan sifat ganas ikan tersebut yang memberi pengalaman mengujakan amat dirindui pemancing sepertinya.

“Ikan sebarau atau nama saintifiknya Hampala Barb sebenarnya merupakan ikan kap pemangsa.

“Spesies itu yang juga dikenali sebagai barau dan badong itu amat ‘digilai’ kaki pemancing kerana kerakusannya membaham gewang, selain mempunyai daya pecutan kuat sewaktu ‘bertarung’,” katanya.

PENGGUNAAN joran, mata kail dan gewang sangat penting bagi menawan ikan sebarau yang terkenal dengan sifat ganasnya.

Menceritakan pengalaman memburu sebarau baru-baru ini, katanya, dia dan rakan-rakan menaiki bot menuju ke suak atau lubuk spesies itu di Tasik Kenyir sejak awal pagi berbekalkan joran jenis Daiko Boat Play 8-16lb dan beberapa biji gewang jenama Rapala, Duel serta Titan Blade.

“Pemilihan dan penggunaan mata kail treblehook dan singlehook yang sesuai juga amat penting agar tidak berputih mata sewaktu ‘berlawan’ dengan ikan pemangsa seperti sebarau.

“Saya memilih mata kail treblehook jenama VMC 4X kod 8626PS bersaiz empat hingga lapan, manakala bagi singlehook pula, jenama Gamakatsu bersaiz satu dan dua digunakan,” katanya.

Berbalik kepada misinya memburu sebarau, Suhairi memberitahu, destinasi pertama dituju adalah satu sauk terletak di kawasan air terjun berhampiran kawasan berbukit yang terbentuk hanya di musim tengkujuh.

“Kira-kira 40 meter untuk tiba di kawasan lubuk itu, kami terus mematikan enjin bot dan membiarkan ia ‘hanyut’ perlahan-lahan.

“Ia bagi mengelakkan ikan itu berasa terganggu oleh bunyi bising enjin bot lalu melarikan diri,” katanya.


PENGALAMAN terserempak dengan seekor kambing gurun berenang menjadi pengalaman mengujakan Suhairi dan rakan-rakan sewaktu memburu sebarau.

Suhairi berkata, lontaran pertama menggunakan gewang Rapala Tail Dancer Deep TDD9 pada mulanya tidak bersambut.

Begitupun ujarnya, berkat kesabaran, tidak lama kemudian, salah satu joran disentap ganas seekor sebarau.

“Salah seorang rakan saya cepat-cepat mengetatkan drag reel dan beradu tenaga sebelum berjaya menewaskan ikan sebarau seberat lebih satu kilogram.

“Kami kemudian berjaya ‘menjinakkan’ tujuh ekor sebarau lain di lubuk sama tidak lama kemudian,” katanya.

Ghairah memburu ikan sebarau, katanya lagi, dia dan rakan-rakannya kemudian berpindah ke beberapa lubuk lain sebelum berjaya menaikkan beberapa ekor lagi sebarau.

Begitupun, dia memberitahu, ‘pesta’ menangkap sebarau terhenti apabila hujan lebat pada lewat petang.

SEBARAU menjadi antara spesies yang menjadi buruan ramai pemancing.

“Kami akur untuk pulang semula ke jeti atas faktor keselamatan.

“Walaupun masih tidak puas, pengalaman menjinakkan sebarau amat mengujakan buat kami semua,” ujarnya.

Suhairi berkata, dia dan rakan-rakannya berazam untuk turun lagi memburu sebarau di Tasik Kenyir dalam masa terdekat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI