fbpx
GAMBAR HIASAN

Jangan biar kita ‘dikurung’ sekali lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELURUH dunia baru-baru ini dikejutkan dengan kemunculan varian baharu koronavirus dinamakan Omicron yang dikesan di rantau selatan Afrika.

Ia diklasifikasikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai varian yang dibimbangi kerana mempunyai banyak mutasi termasuk 26 hingga 32 mutasi di spike protein serta 10 mutasi di protein melekat kepada ACE2 receptor yang membolehkan virus masuk ke dalam sel badan.

Sebagai perbandingan, varian Beta mempunyai tiga mutasi dan varian Delta sebelum ini mempunyai dua mutasi.

Apa yang dibimbangi akhirnya berlaku juga selepas kes pertama varian Omicron dikesan di negara ini minggu lalu membabitkan seorang pelajar warga asing berusia 19 tahun dari Afrika Selatan yang merupakan pelajar di sebuah universiti swasta di Ipoh, Perak.

Biarpun pelajar itu sudah menjalani kurantin dan kontak rapatnya sudah dikesan dan diasingkan, tetapi ia masih menjadi kebimbangan dalam kalangan rakyat di negara ini.

Ini memandangkan, varian ini dikatakan menular pada kadar lebih pantas daripada varian lain, sekali gus menunjukkan kemungkinan besar ia lebih mudah merebak.

Justeru, jangan mengambil mudah perkara ini kerana kita tidak mahu diri ‘terkurung’ sekali lagi ekoran sikap acuh tak acuh terhadap varian terbaharu ini.

Perlu diingat, kita baru sahaja dilepaskan daripada ‘kurungan’ ekoran penamatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan aktiviti merentas daerah dan negeri dibenarkan pada Oktober lalu, selain pembukaan sektor semua ekonomi dan pelancongan di seluruh negara.

Sejak bebas bergerak ke mana-mana termasuk makan di restoran, melancong dan sebagainya, ramai yang sudah lupa bahawa negara masih belum bebas dalam usaha melawan pandemik Covid-19 dengan jumlah kes harian masih mencatat ribuan kes.

Kelihatan di mana-mana sahaja termasuk restoran, medan selera dan kedai makan sudah ramai yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi membendung pandemik yang masih ada.

Kita semua boleh lihat, kebanyakan pelanggan yang teruja untuk menjamu selera sama ada bersama keluarga atau rakan taulan sudah tidak peduli SOP.

Mereka bagaikan sudah lupa bagaimana peritnya ‘dikurung’ dan ‘dirantai’ untuk tidak bergerak bebas sebelum ini.

Tambahan pula, varian Omicron yang baru muncul ini memerlukan kita semua agar berjaga-jaga dan mengamalkan kawalan kendiri agar kebebasan yang dikecapi itu tidak tergadai begitu sahaja.

Justeru, marilah kita semua berganding bahu dengan mengingatkan diri sendiri bahawa hanya dengan mematuhi SOP ketika berada di luar rumah, varian terbaharu ini dapat dibendung dan kebebasan yang diberikan ini akan terus dikecapi sampai bila-bila.

Jangan pula sudah terhantuk, baru nak tengadah. Pada masa itu sudah terlewat ibarat nasi sudah menjadi bubur. -K! ONLINE

POPULAR

BERITA BERKAITAN