fbpx

Tingkat keluaran ternakan atasi harga tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
INDUSTRI ternakan masih kekal relevan dan berpotensi untuk dikembangkan.

Oleh DR. SANSUL BAHRI AHMAD

KENAIKAN harga makanan ternakan di pasaran global menyebabkan penternak berdepan kos tinggi bagi mendapatkan bekalan.

Kenaikan itu di luar kawalan kerajaan kerana harga makanan ternakan seperti jagung dan kacang soya semakin meningkat di pasaran dunia.

Keadaan ini boleh mempengaruhi kenaikan harga ayam standard di pasaran tempatan ketika ini.

Terkini, harga ayam di pasaran antara RM9.50 hingga RM11.50 sekilogram.

Kenaikan turut berlaku kepada bekalan makanan ternakan lain seperti daging lembu segar, daging kambing segar dan sebagainya.

Industri ternakan terutama ternakan ruminan pada masa ini masih berskala kecil dan berpotensi untuk dikembangkan bagi menjamin bekalan makanan dalam negara serta mengurangkan daging import.

Antara isu dan cabaran dihadapi dalam pembangunan industri ini adalah kekurangan baka berkualiti, harga makanan ternakan tinggi serta kekurangan kepakaran dan tenaga kerja.

Dalam hal ini, transformasi industri ternakan perlu ditumpukan kepada perusahaan ternakan secara komersial, penghasilan baka ternakan berkualiti, peluasan Amalan Penternakan Haiwan Baik (GAHP) dan penghasilan rumusan makanan ternakan bermutu pada harga kompetitif.

Selain itu, aspek penyelidikan dan pembangunan dari segi kawalan penyakit haiwan dan kecekapan sistem ternakan juga harus diberi penekanan.

Industri bukan ruminan termasuk ayam, itik, babi serta telur (melibatkan ayam dan itik) yang mencapai tahap sara diri yang tinggi terus dibangunkan supaya daya saing serta kemampanan industri ini dapat ditingkatkan.

Dengan senario mencabar ini, industri ternakan masih kekal relevan dan ada potensi baik untuk dikembangkan.

KENAIKAN harga makanan ternakan di pasaran dunia dikatakan mempengaruhi kenaikan harga ayam di negara ini. – GAMBAR HIASAN

Dasar dan polisi pembangunan ternakan boleh ditumpukan kepada usaha meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi permintaan produk ternakan berkualiti tinggi di pasaran tempatan dan juga membuka ruang untuk eksport.

Pengeluaran ternakan terpilih akan diberi galakan bagi memenuhi permintaan bahan mentah yang dapat merangsang pertumbuhan industri pemprosesan berasaskan ternakan.

Sehubungan itu, pengeluaran ternakan ayam dan telur juga mesti ditingkatkan untuk memenuhi permintaan bahan mentah aktiviti pemprosesan hiliran.

Langkah-langkah untuk meningkatkan produk daging segar lembu, kerbau dan kambing serta produk tenusu bagi memenuhi permintaan tempatan akan dilaksanakan.

Rusa yang diternak sebagai daya tarikan agropelancongan pula dipromosikan untuk dibela secara komersial sebagai alternatif sumber daging.

Ternakan lain yang turut diberikan perhatian adalah burung unta, puyuh, itik, angsa, ayam belanda, burung merpati, kijang dan lain-lain yang boleh diternak mengikut permintaan pasaran.

Kajian pembangunan berterusan dilaksanakan terhadap produk baharu yang berpotensi untuk dijadikan bahan makanan atas desakan permintaan tempatan serta luar negara.

Dalam pada itu, penyertaan sektor swasta dalam bidang ini turut diberikan galakan dan insentif.
Sistem perladangan tradisional secara kecil-kecilan yang kurang efisien dan produktif ditransformasi menjadi ladang berdaya maju dan berdaya saing.

Bagi merealisasikan program ini, penternak lembu tenusu, pedaging, kerbau, kambing dan rusa dibekalkan dengan baka ternakan bermutu tinggi untuk dibiak.

Penternakan secara komersial berasaskan penggunaan teknologi moden perlu diberi galakan dan insentif.

Melalui program ini, penggunaan tanah secara optimum diberikan perhatian khusus seperti skim integrasi ternakan dengan tanaman komoditi atau tanaman hutan komersial.

Bagi menjamin bekalan baka ternakan bermutu tinggi sentiasa mencukupi, sektor swasta diberikan galakan dan insentif untuk menceburi bidang pengeluaran baka ternakan bermutu.

Ia dibuat melalui sistem pembiakan saintifik terancang di ladang pembiakan baka dan penetasan ternakan komersial.

PENTERNAKAN itik untuk telur terus dibangunkan agar daya saing industri ini ditingkatkan.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dijangka melaksanakan empat inisiatif bagi meningkatkan jaminan bekalan makanan sebanyak RM120 juta.

Inisiatif itu dijangka dapat meningkatkan sekuriti makanan negara melalui pengurangan import, khususnya makanan ternakan.

Ia merangkumi pelbagai projek Jaminan Bekalan Makanan melibatkan banyak negeri termasuk Pembangunan Industri Akuakultur dan Estet Kerang-Kerangan di Johor serta program Pemantapan Jaminan Bekalan Makanan Negara.

Ini bagi menyediakan kemudahan logistik dan pusat penyimpanan stok bekalan makanan serta hasil pertanian segar berteknologi tinggi untuk petani dan pengusaha agromakanan.

Selain itu, program Bantuan Insentif Makanan Ternakan Ruminan melalui Skim Harga Bersubsidi Dedak Isi Rong Sawit membolehkan penternak mendapatkan bekalan makanan ternakan pada harga murah.
———————————————————————————————————————————————————–
DR. SANSUL BAHRI AHMAD ialah Pengarah Makmur Livestocks Sdn. Bhd., dan pernah bertugas sebagai Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan serta tenaga pengajar sepenuh masa Institut Veterinar Malaysia di Kluang, Johor.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI