fbpx

PRN Sarawak: 34 janji jadi teras manifesto GPS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar pelancaran Manifesto GPS PRN 12 yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching sebentar tadi.

KUCHING – Gabungan Parti Sarawak (GPS) menggariskan 34 janji untuk ditunaikan kepada rakyat Bumi Kenyalang sekiranya diberi mandat sekali lagi bagi membentuk kerajaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, GPS berjanji dan bertekad untuk melaksanakan lebih banyak inisiatif bagi meningkatkan kemajuan dan kegemilangan demi rakyat Sarawak.

“34 Manifesto GPS yang komprehensif itu akan memperjuangkan hak Sarawak, menjamin hak rakyat, menjaga kebajikan rakyat dan membangunkan masa depan negeri ini.

“GPS telah menyediakan landasan kukuh untuk membangunkan Sarawak ke arah Sarawak Maju Berpendapatan Tinggi menjelang 2030 seterusnya menjadikan Sarawak maju dan rakyatnya menikmati kemakmuran,” katanya ketika berucap melancarkan Manifesto GPS PRN Ke-12 di sini tadi.

Katanya, keupayaan GPS melaksanakan pelbagai program pembangunan untuk kepentingan rakyat jelas membuktikan bahawa parti itu mempunyai jentera pentadbiran mantap serta sistem tadbir urus kewangan yang baik.

“Parti-parti pembangkang hanya mampu mengkritik GPS, mereka tidak mempunyai sebarang rekod pencapaian membangunkan Sarawak.

“Semasa pemerintahan kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan, banyak projek pembangunan di Sarawak dibatalkan dan peruntukan ditarik balik,” ujarnya.

Katanya lagi, GPS turut melaksanakan lebih 100 inisiatif ‘game changer’ untuk merancakkan pembangunan sosio-ekonomi Sarawak yang telah mendatangkan banyak manfaat kepada rakyat Sarawak.

“Sebagai Pengerusi GPS, saya dan pasukan akan terus komited memastikan dasar-dasar yang kita laksanakan dapat memberi manfaat kepada rakyat.

“GPS juga akan memastikan tiada seorang pun rakyat Sarawak tersisih dalam mengecapi nikmat pembangunan selain usaha itu hanya dapat direalisasikan jika GPS terus diberi mandat kali ini,” jelasnya.

Sementara itu, antara manisfesto digariskan GPS termasuklah menjamin kestabilan dan autonomi politik, mempertahankan hak Sarawak mengikut Perjanjian Persekutuan selain memastikan hak kesaksamaan inklusif untuk rakyat. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI