fbpx

Mati dalam tahanan: PDRM tubuh USJKT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hamzah.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mewujudkan Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) bagi meneliti dan menyelesaikan masalah kematian di kalangan tahanan bermula Januari tahun depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, penubuhan itu dibuat hasil perbincangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan PDRM bagi membantu kerajaan meningkatkan integriti serta imej pasukan polis.

“KDN dan PDRM bersetuju untuk mewujudkan USJKT yang ditempatkan di bawah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

“Unit itu akan dianggotai 14 orang pegawai serta anggota polis dan akan mula berkuatkuasa pada 1 Januari 2022,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Majlis Pelancaran Aspirasi Keluarga Malaysia, di sini hari ini.

Menurut beliau, tujuan unit itu ditubuhkan adalah untuk menunjukkan sikap prihatin terhadap isu yang disuarakan rakyat berkenaan kematian suspek ketika berada dalam tahanan polis.

“Penyiasatan dijalankan USJKT akan tertumpu kepada siasatan telus, pengesanan unsur jenayah dan mengenal pasti subjek.

“Selain itu, USJKT akan menilai sebarang kecuaian serta kelalaian yang dibuat oleh anggota atau pegawai, seterusnya pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) terhadap suspek dalam tahanan,” katanya.

Sementara itu, Hamzah menekankan tiada unsur perkauman dalam kes kematian suspek dalam tahanan polis yang berlaku sepanjang tahun 2015 sehingga kini.

“Jumlah daripada tahun 2015 menunjukkan sebanyak 82 kes kematian terdiri daripada 42 suspek Melayu, 13 suspek berbangsa Cina, 15 suspek berbangsa India dan 12 warga asing.

“Jadi tidak ada kena mengena dengan perkauman di sini, ianya berlaku atas perkara perkara yang tidak boleh dielakkan seperti suspek mempunyai sejarah penyakit,” ujarnya.

Tambah beliau, pihak KDN dan PDRM dalam perbincangan dengan Kementerian Kewangan untuk melantik doktor panel bagi membolehkan mana-mana individu yang ditahan polis dirujuk segera ke klinik swasta.

“Mengikut SOP sedia ada, kita perlu menunggu doktor atau pegawai perubatan yang akan dihantar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memakan masa yang lama.

“Jika khidmat doktor panel klinik swasta dibenarkan, seorang tahanan boleh dirujuk segera kepada klinik panel untuk proses saringan kesihatannya bagi mengetahui status kesihatan semasa tahanan itu sebelum dibawa ke lokap,” katanya.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI