fbpx

Korban letusan Semeru meningkat 13 orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai BNPB, Abdul Muhari berkata, seramai 13 orang terkorban selepas letusan itu dengan dua daripada mereka telah dikenal pasti. - Twitter

JAKARTA – Seramai 10 orang yang terperangkap selepas Gunung Semeru meletus telah selamat dipindahkan, kata Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) hari ini ketika angka korban bencana meningkat kepada sekurang-sekurangnya 13 orang, manakala puluhan mangsa cedera, lapor stesen televisyen NDTV.

Semeru yang merupakan gunung tertinggi di Pulau Jawa, menghamburkan abu dan awan panas semalam. Bahan vulkanik itu melitupi kampung-kampung berdekatan di wilayah Jawa Timur, menyebabkan penduduk bertempiaran lari menyelamatkan diri.

Letusan itu turut menyebabkan sebuah jambatan utama yang menghubungkan  dua buah kawasan di daerah Lumajang dengan bandar Malang rosak teruk. Sejumlah bangunan turut ranap, kata pihak berkuasa.

Pegawai BNPB, Abdul Muhari berkata, seramai 13 orang terkorban selepas letusan itu dengan dua daripada mereka telah dikenal pasti. 

“Seramai 99 mangsa cedera termasuk dua wanita hamil, manakala 902 penduduk telah dipindahkan,” katanya.

Terdahulu, pegawai tempatan di Lumajang, Thoriqul Haq berkata, sejumlah pelombong pasir telah terperangkap di lokasi mereka bekerja.

Menurut BNPB pula, sekurang-kurangnya 35 orang dirawat di hospital dengan penolong pegawai daerah Lumajang memberitahu bahawa 41 orang mengalami luka melecur.

Semeru yang mempunyai ketinggian lebih 3,600 meter merupakan antara 130 gunung berapi aktif di Indonesia. Gunung berapi itu pernah meletus pada Januari tahun ini tetapi tiada kecederaan dilaporkan. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI