fbpx
Kedua-dua mereka kini sedang merancang untuk berkahwin. – Jam Press

Lelaki 77 tahun cintai gadis 20 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON – Seorang warga emas berusia 77 tahun dari Britain mendedahkan bahawa jarak usia dan lokasi tidak menghalangnya untuk jatuh cinta dengan seorang pelajar berusia 20 tahun yang kini menetap di Myanmar, lapor akhbar The Sun semalam.

David dan Jo bahkan kini sedang merancang untuk mendirikan rumah tangga selepas menjalin hubungan cinta selama 18 bulan.

Mereka yang tidak pernah berjumpa sebelum ini dan hanya berkenalan menerusi sebuah aplikasi janji temu bagaimanapun berharap dapat berjumpa secara bersemuka selepas Jo berjaya mendapatkan visa dan pasport.

“Saya bukanlah seperti lelaki lain dan saya sentiasa mengikut kata hati. Sekiranya wujudnya rasa cinta dan kasih sayang antara dua manusia, kenapa kita perlu persoalkan?” kata David.

Tambahnya, ketika mula menyertai laman janji temu tersebut, dia hanya mencari profil gadis-gadis muda di sekitar Britain.

“Saya sentiasa mempunyai hati yang muda dan teman yang lebih muda. Saya tidak dapat membayangkan untuk bersama dengan seseorang yang usianya sebaya,” ujarnya.

Sementara itu, Jo berkata, ketika menyertai laman janji temu tersebut, dia menipu dengan menulis pada profilnya bahawa dia menetap di London sebagai taktik untuk berkenalan dengan lelaki dari Britain.

“Sejujurnya, saya menyertai laman tersebut untuk mencari seseorang yang boleh ‘menaja’ saya secara kewangan untuk membiayai pengajian kerana saya merupakan seorang pelajar miskin dan tidak menetap bersama keluarga,” katanya.

Bagaimanapun menurutnya, selepas dia sering berbicara dan berhubung dengan David, hubungan tersebut menjadi lebih serius.

“Saya mulai sedar bahawa saya berasa selesa untuk berkongsi dengan David mengenai apa sahaja dan kami mula bersembang selama berjam-jam lamanya.

“Saya akhirnya sedar bahawa saya sudah jatuh cinta kepadanya kerana dia sering menyokong saya secara emosi, seorang yang baik hati dan penyayang.

“David adalah lebih daripada seorang tunang, bahkan seorang mentor, kawan baik dan ahli keluarga. Saya boleh memberitahunya tentang semua perkara,” katanya. – AGENSI 

POPULAR