ALOR SETAR – Ketika ramai rakyat negara ini sedang berlumba-lumba untuk mengejar kemajuan teknologi, namun masih terdapat individu yang taksub dan percaya dengan amalan khurafat, tahyul dan syirik yang dibawa oleh bomoh temberang.
Tidak hanya tertumpu untuk mendapatkan ramalan nombor ekor bagi tujuan perjudian, ramai individu juga bergantung kepada jampi bomoh kononnya untuk merawat penyakit misteri ataupun memenuhi hajat.
Bagaimanapun, ketaksuban mereka telah membuka ruang kepada bomoh-bomoh auta untuk mengaut keuntungan lumayan dengan cara memperdaya mangsa yang datang mendapatkan perkhidmatan mereka.
Natijahnya, ramai dalam kalangan mangsa terpaksa menanggung kerugian mencecah ribuan ringgit apabila barang kemas mereka lesap dikebas oleh bomoh temberang, selain ada yang terpaksa mengorbankan harta serta haiwan ternakan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Elias Omar ketika mendedahkan perkara itu berkata, kebanyakan mangsa penipuan bomoh di negeri ini terpedaya kononnya mereka mengalami penyakit misteri, mempunyai sial selain ada yang dikelentong ketika ingin mendapatkan ramalan nombor ekor.
“Sebanyak 30 kertas siasatan telah dibuka berkaitan penipuan membabitkan bomoh sejak enam tahun lalu dengan kerugian berjumlah RM751,859 dan lapan kes telah dituduh di mahkamah.
“Kerugian tertinggi dicatatkan pada tahun 2017 iaitu RM339,911 dengan kes paling tinggi membabitkan ramalan nombor ekor,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini baru-baru ini.

Elias berkata, pada Oktober tahun lalu, seorang kerani wanita kerugian RM45,000 selepas sebahagian barang kemasnya dilarikan bomoh ketika melakukan ritual menghalau makhluk halus yang kononnya terjatuh di atas bumbung rumahnya.
“Suspek berjaya ditahan dan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Petani,” ujarnya.
Sementara itu, bagi kes berkaitan nombor ramalan pula, menurutnya, ada mangsa kerugian ribuan ringgit selepas diperdaya supaya menyerahkan haiwan ternakan iaitu lembu untuk dikorbankan bagi mendapatkan ramalan nombor ekor.
“Bomoh juga biasanya akan meminta mereka membawa barang-barang lama seperti keris untuk melakukan ritual pemujaan bagi mendapatkan nombor ramalan,” katanya.
Ujarnya, penipuan membabitkan nombor ramalan menjadi kes paling banyak direkodkan iaitu sebanyak 18 kes daripada keseluruhan 30 kes itu.
Menurutnya, kes penipuan tilik nasib pula banyak melibatkan orang bukan Islam.
“Mangsa kebanyakannya bertemu secara tidak sengaja di tempat awam seperti pasar pagi yang mana tukang tilik nasib itu memberitahu mangsa mempunyai masalah dan perlu berubat untuk membuang sial,” ujarnya.
Katanya, sebilangan orang yang cuba berikhtiar dengan perubatan alternatif perlu lebih berhati-hati agar tidak tertipu dengan bomoh palsu.
“Mangsa yang terpedaya berusia antara 18 hingga 60 tahun dengan pecahan jantina iaitu lelaki sebanyak 19 kes dan wanita 11 kes,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya juga menerima banyak rungutan daripada pengguna terutama penduduk kampung berkaitan perkhidmatan bomoh.
“Memang banyak rungutan yang saya terima, tetapi tidak ada aduan dilakukan secara rasmi setakat ini.
“Ada bomoh yang mengenakan bayaran antara RM300 hingga RM400, namun terdapat juga bomoh yang tidak menetapkan caj tertentu untuk berubat.
“Namun, malangnya mereka yang menggunakan khidmat itu mendakwa, penyakit mereka tidak sembuh-sembuh,” katanya.
Sehubungan itu, pihaknya meminta pengguna supaya lebih berhati-hati dan jika menghidap sesuatu penyakit, mereka perlu mendapatkan rawatan moden terlebih dahulu.
“Ini sakit jantung pun berubat dengan bomoh,” tambahnya.














