fbpx

Jumlah pasangan bercerai tahun lalu turun 19.2 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan bilangan penceraian pada tahun 2020 menurun 19.2 peratus kepada 45,754 berbanding 56,624 pada tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, penurunan penceraian itu disumbangkan oleh penurunan sebanyak 16.8 peratus bagi orang Islam dan 29 peratus penurunan bagi orang bukan Islam.

Beliau berkata, tiga negeri yang merekodkan penurunan penceraian orang Islam tertinggi iaitu di Sabah sebanyak 38.9 peratus diikuti Putrajaya (31.3 peratus) dan Kuala Lumpur (24.5 peratus).

“Bagi orang bukan Islam pula, negeri tertinggi mencatatkan penurunan penceraian ialah Labuan (71.4 peratus), Kedah (42.6 peratus) dan Melaka (42.4 peratus).

“Penceraian tertinggi adalah pada kumpulan umur 30 hingga 34 tahun bagi kedua-dua pengantin lelaki dan wanita,” katanya menerusi kenyataan akhbar mengenai Perangkaan Perkahwinan dan Penceraian 2021 dikeluarkan hari ini.

Berhubung senario perkahwinan lewat di Malaysia pula, Mohd. Uzir berkata, penduduk Malaysia kini mula berkahwin pada umur lewat 20-an berbanding awal umur 20-an pada tahun 1980-an.

“Berdasarkan penemuan Banci Penduduk pada tahun 1960, 2000 dan 2010, umur purata perkahwinan wanita meningkat daripada 19.4 kepada 25.1 tahun kemudian meningkat lagi kepada 25.6 tahun pada 2010.

“Umur purata perkahwinan wanita menunjukkan peningkatan daripada 27.5 tahun (2016) kepada 28.1 pada tahun 2020,” ujar beliau. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI