fbpx

Hilang dua cucu lelaki serentak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ALIAS (kiri) kelihatan sugul selepas menerima berita kematian dua cucunya ketika ditemui di rumahnya di Hulu Terengganu semalam.

HULU TERENGGANU – Dua remaja lelaki meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati selepas motosikal yang ditunggang melanggar lori yang sedang mengundur semasa dalam perjalanan membantu ibu saudara mereka yang terlibat kemalangan kelmarin.

Nahas pada pukul 2.25 petang itu berlaku di Jalan Kampung Pelandan-Cheting berhampiran Sekolah Kebangsaan Cheting di sini.

Mangsa yang maut dalam kejadian itu ialah Muhammad Haiqal Abdullah, 18, dan sepupunya, Muhammad Izman Hamidi Abdullah, 16.

Nenek mangsa, Alias Ali, 66, berkata, sebelum kejadian, dia dimaklumkan anak sulungnya, Asah Bidin yang juga ibu saudara Muhammad Haiqal dan Muhammad Izman terlibat dalam kemalangan berhampiran sebuah kilang getah di Kuala Berang di sini pada pukul 12 tengah hari.

Dalam kejadian itu, Asah yang berusia dalam lingkungan 40-an mengalami cedera ringan.

“Saya kemudiannya meminta pertolongan dua cucu (mangsa) untuk mengambil motosikal ibu saudara mereka di lokasi keja­dian.

“Tidak lama kemudian, saya diberitahu mereka berdua meninggal dunia kerana terbabit dalam kemalangan semasa dalam perjalanan membantu anak saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Cheting di sini semalam.

Menurut Alias, luluh hatinya selepas mendapat berita mengenai kemalangan yang menimpa anak dan dua cucunya itu.

Lebih menyedihkan, dua cucu kesayangan Alias pergi serentak dalam sekelip mata. Tambahnya, dua remaja itu sangat taat dan ringan tulang.

Sementara itu, ibu Muhammad Izman, Normala Bidin, 40, berkata, dia sempat berpesan kepada anaknya dan sepupu remaja itu supaya berhati-hati semasa dalam perjalanan ke lokasi kemalangan ibu saudara mereka.

“Saya pelik abang (panggilan Muhammad Izman) itu tidak menyahut pesanan seperti ­biasa, sebaliknya dia hanya memandang wajah saya.

“Lebih kurang 15 minit kemudian saya terima berita kemala­ngan yang meragut nyawa anak sulung dan sepupunya,” katanya.

KEADAAN motosikal yang dinaiki dua mangsa selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori muatan kelapa sawit.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superinten­dan Mohd. Adli Mat Daud berkata, nahas berlaku selepas pemandu lori mengundur kenderaannya untuk memasuki laluan Jalan Kampung Pelandan-Cheting.

Sebelum itu, pemandu berusia 32 tahun memberhentikan lorinya di tepi jalan untuk makan tengah hari di sebuah gerai di lokasi kejadian. Sewaktu mengundur lorinya, tiba-tiba motosikal dinaiki dua mangsa terlanggar belakang lori menyebabkan penunggang dan pembonceng tercampak atas jalan,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI