fbpx
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) pada Majlis Pelancaran Jenama Baharu HRD Corp & Platform Sehenti Kebangsaan Untuk Semua Kursus Latihan Pembangunan dan Kemahiran, turut hadir Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini. - SHIDDIEQIIN ZON

Platform Sehenti Kebangsaan ‘UpskillMalaysia’ dilancarkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KSM) bersama Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) melancarkan Platform Sehenti Kebangsaan ‘UpskillMalaysia’ berperanan untuk menguruskan latihan dan pembangunan kemahiran di Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peranan HRD Corp menjadi semakin penting sepanjang tempoh 18 bulan ini dalam memperkenalkan pelbagai program untuk melindungi pekerjaan sedia ada serta mencipta peluang baharu untuk rakyat Malaysia.

“Perkara ini selaras dengan aspirasi kerajaan yang termaktub dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) dalam Pemerkasaan Ekonomi dan Perekayasaan Sosial bagi mencipta peluang pekerjaan dan latihan kemahiran.

“Inisiatif ini membolehkan kerajaan untuk memulakan strategi pembangunan bakat yang lebih padu, tersusun dan cekap sehingga dapat memacu pemulihan ekonomi Malaysia pasca pandemik dengan sasaran pelatih sebanyak 220,000 menjelang akhir 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Jenama Baharu HRD Corp dan Platform Sehenti Kebangsaan di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Turur hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Adham Baba, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed serta Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Seri Jamil Salleh.

Dalam pada itu, Menteri Sumber Manusia, M. saravanan berkata, pihaknya amat berbesar hati di atas pengiktirafan oleh pihak kerajaan terhadap usaha sama KSM dan HRD Corp sebagai pemangkin utama inisiatif pembangunan modal insan Malaysia.

“Kejayaan serta daya tahan HRD Corp bagi tempoh 28 tahun lalu telah membuktikan keupayaannya dalam mengadaptasi dan berkembang demi keperluan pembangunan ekonomi. Kini, program levinya meliputi 18 sektor dan 238 subsektor,” ujarnya.

Pelaksanaan inisiatif ini juga membolehkan HRD Corp meliputi sehingga 6.1 juta pekerja dalam tempoh lima tahun akan datang.

Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) ditubuhkan pada tahun 1993 yang dikenali sebagai Majlis Pembangunan Sumber Manusia (MPSM) sebelum diperbadankan menjadi Pembangunan Sumber Manusia Berhad melalui penggubalan Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad 2001. -K! ONLINE.

POPULAR