PETALING JAYA – Selain menyalahi undang-undang, aktiviti penyeludupan ayam hidup dari Thailand yang semakin berleluasa ketika ini dibimbangi akan menjadi punca kepada penyebaran penyakit selesema burung di negara ini.
Lebih menakutkan apabila virus selesema burung itu turut berpotensi untuk menjangkiti manusia seperti mana yang pernah berlaku di negara-negara seperti Kemboja, China, Indonesia dan Thailand pada tahun 2004 sehingga 2006.
Sebagai contoh, penyakit selesema burung yang pernah melanda Thailand menerusi virus Avian Influenza A (H5N1) pada 2003 telah merebak ke negeri Kelantan pada 2004 menyebabkan ternakan ayam dan itik terkesan teruk.
Pegawai Veterinar dari Pusat Pertanian Putra, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Muhammad Azrolharith Rashid berkata, aktiviti penyeludupan ayam hidup ke negara ini adalah tidak dibenarkan kerana dikhuatiri menjadi punca kepada merebaknya penyakit selesema burung.
Berita Berkaitan: Lambakan ayam Siam di Kelantan
Katanya, meskipun peniaga tempatan yang memasarkan ayam berkenaan menjamin dari aspek halal dan kebersihan haiwan berkenaan, ia masih memberi risiko terutama kepada pengguna.
“Haiwan ternakan seperti ayam berada di bawah tanggungjawab Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan diwajibkan untuk dikuarantin dalam satu tempoh masa yang spesifik bagi memastikan haiwan tersebut tidak membawa sebarang penyakit,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai laporan muka depan Kosmo! Ahad semalam yang mendedahkan mengenai aktitiviti penyeludupan ayam hidup dari Thailand.

Tambah beliau, dalam tempoh kuarantin itu, perubahan iklim boleh menyebabkan penyakit bawaan unggas atau haiwan ternakan lain muncul termasuklah kes penyakit Lumpy Skin Disease (LSD) yang dikesan ke atas ternakan lembu sebelum ini.
“Jika ayam hidup masuk ke negara kita tanpa pemeriksaan daripada pihak Maqis, ia berisiko membawa penyakit kepada haiwan-haiwan lain, sekali gus boleh menyebabkan kewujudan virus atau penyakit baharu.
“Walaupun haiwan ternakan itu tidak mempunyai virus selesema burung, haiwan itu masih perlu menjalani kuarantin bagi memastikan ia bebas daripada penyakit-penyakit yang lain,” katanya.
Jelasnya, bagi haiwan yang telah disembelih, pemeriksaan juga perlu dilakukan selepas proses penyembelihan bagi mengesan sama ada haiwan itu masih membawa penyakit ataupun tidak.
Selain itu katanya, penternak yang terlibat menguruskan haiwan seludup juga terdedah kepada sebarang bentuk jangkitan penyakit sama ada ketika proses menternak mahupun penyembelihan.
“Apabila haiwan itu diseludup, kita tidak dapat pastikan aspek kebersihan dan kesihatannya sebelum dibawa masuk ke negara ini.
“Bagi mereka yang memakan ayam seludup terbabit, dikhuatiri mereka juga terdedah kepada jangkitan penyakit.
“Seelok-eloknya, peniaga membeli ayam hidup dari pasaran tempatan bagi menjaga standard kebersihan dan memastikan industri makanan kita kekal selamat,” tambahnya.
Terdahulu, Kosmo! Ahad semalam melaporkan mengenai isu lambakan ayam hidup Siam disyaki diseludup ke Kota Bharu, Tumpat dan Pasir Mas untuk dijual kepada pengguna.
Tindakan itu dibuat atas alasan para peniaga tidak mampu lagi menampung kos operasi yang tinggi di pasaran tempatan. -K! ONLINE














