fbpx
Peniaga ayam di Kelantan yang menjual ayam segar. - Gambar hiasan

Lambakan ayam Siam di Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Kenaikan harga ayam memaksa segelintir peniaga di negeri ini bersekongkol dengan penyeludup untuk mendapatkan bekalan dari Siam yang didakwa lebih murah hingga mengakibatkan berlaku lambakan di beberapa buah daerah ekoran permintaan yang sangat tinggi.

Peniaga-peniaga mendakwa, ayam bagi pasaran umat Islam Thailand itu dijual kerana mereka tidak mampu menanggung kos operasi yang semakin tinggi saban hari.

Difahamkan, setiap hari sebanyak 1,000 hingga 2,000 ekor ayam hidup diseludup bagi menampung permintaan peniaga di sini, Pasir Mas dan Tumpat.

Ayam hidup Siam menjadi buruan peniaga di tiga daerah ini kerana dibeli pada harga antara RM5.50 hingga RM6 sekilogram dan boleh dijual antara RM9 hingga RM9.50 mengikut harga pasaran semasa negara ini.

Seorang peniaga ayam proses di Pasir Mas yang dikenali sebagai Ngah, 50, berkata, dia terpaksa mengambil bekalan ayam hidup seludup untuk dijual di gerainya.

“Saya tidak boleh tahan harga ayam hidup tempatan melam­bung dan sebab itu saya beli dan jual ayam seludup yang dibekalkan oleh rakan.

“Taktik ini dilakukan oleh kebanyakan penjual ayam di beberapa daerah di Kelantan kerana kami tidak mampu untuk menampung kenaikan harga,” katanya kepada Kosmo! Ahad.

Tambahnya, walaupun menjual ayam seludup, dia masih menggunakan harga pasaran tempatan untuk pelanggannya, namun margin keuntungan lebih besar berbanding dengan membeli ayam tempatan pada harga RM7.50 hingga RM8 sekilogram.

Gambar hiasan

Menurut Ngah, ayam-ayam yang dijual juga menepati piawaian dan saiz tertentu yang sesuai selain halal dan kebersihannya yang tidak perlu dipertikaikan kerana disembelih di sini.

“Ramai rakan yang sering pergi ke negara jiran memaklumkan ayam-ayam di sana diberi makan jagung selain dedak tanpa campuran yang mengundang curiga,” katanya.

Sementara itu, seorang penyeludup yang dikenali sebagai Mat, 39, mendedahkan, dia melakukan kerja itu kerana tidak sanggup lagi mendengar keluhan rakan peniaga yang berdepan masalah kekurangan bekalan dan harga yang melambung.

“Saya ada ramai kenalan rapat yang menternak ayam di Thailand yang secara tak langsung memudahkan kerja saya. Ayam hidup itu dibawa masuk melalui Sungai Golok,” katanya yang sudah menjadi penyeludup selama 10 tahun.

Tambahnya, walaupun tahu perbuatan itu salah di sisi undang-undang, namun dia tiada pilihan kerana mahu membantu rakan-rakan peniaga yang berdepan dengan pandemik Covid-19.

Menurut Mat, dia menjual ayam hidup pada harga RM5.50 hingga RM6 sekilogram dan akan membawa masuk sehingga 2,000 ekor sehari.

“Ia perlu dibawa dalam kuantiti sedikit, namun dilakukan ba­nyak kali bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” ujarnya yang mendakwa ayam Siam diternak oleh orang Islam.

Dalam pada itu, seorang pembeli ayam di sebuah pasar di Pasir Mas, Abdul Manan Rahim, 51, berkata, dia tahu taktik peniaga, namun tidak kisah kerana di­sembelih oleh peniaga tempatan di sini.

“Saya akan terus beli ayam yang murah dan berharap harga ayam tempatan dapat turun sekali gus membolehkan ayam tempatan dijual semula di Kelantan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN