fbpx
Mustapa (dua dari kanan) meninjau perusahaan memproses santan yang diusahakan oleh penduduk di Kampung Kelong, Tumpat hari ini. -ROSLIZA MOHAMED

Kelantan tuntut penjelasan isu royalti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Kerajaan negeri memohon kerajaan Persekutuan memberi penjelasan lanjut berhubung kenyataan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengenai isu pembayaran royalti petroleum kepada Kelantan baru-baru ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan Kelantan memandang serius jawapan bertulis yang dikemukakan Tengku Zafrul dalam Dewan Rakyat yang dilihat tidak selari dengan kenyataan terdahulu kerajaan Persekutuan.

“Berdasarkan rekod Majlis Kewangan Negara yang bersidang pada 7 Jun 2018 telah memutuskan bahawa kerajaan Persekutuan akan memansuhkan Program Wang Ihsan dan bayaran tunai petroleum disalurkan terus kepada kerajaan negeri.

“Bayaran tunai dan hasil pengeluaran Kelantan diperakui kerajaan Persekutuan dalam Dewan Rakyat pada 30 Oktober 2019 dan 28 Julai 2020 oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi),” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Baru-baru ini, Tengku Zafrul dalam jawapan bertulis di persidangan Dewan Rakyat berkata, Petronas tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri di Semenanjung termasuk Kelantan, sebaliknya akan dibuat dalam bentuk wang ihsan.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kerajaan negeri tetap berpendirian bayaran tunai adalah kaedah tepat berdasarkan peruntukan yang jelas dalam Perjanjian 1975 antara Petronas dengan kerajaan negeri.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika mengulas perkembangan itu berkata, isu royalti antara yang telah dibincangkan dalam pertemuan kerajaan negeri Kelantan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada minggu lalu.

Menurut Mustapa, kunjungan hormat terhadap Ismail Sabri diketuai Ahmad sendiri yang diiringi Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhammad.

“Tiga isu dibangkitkan iaitu (royalti) petroleum, air dan pembangunan di Kelantan. Semua perkara itu sedang diselaras dan kita sedang membincangkan di peringkat yang sesuai. Ia sedang dipertimbangkan” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat berkaitan masalah miskin tegar semasa mengadakan lawatan dan menyantuni golongan berkenaan di sekitar Kampung Kelong di sini hari ini. – K! ONLINE.

POPULAR