fbpx

Prestasi TNB kekal berdaya tahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus menunjukkan prestasi berdaya tahan dengan mencatatkan kenaikan hasil dan keuntungan bersih seiring dengan peningkatan aktiviti ekonomi dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2021.

Hasil Kumpulan meningkat 9.6 peratus tahun ke tahun kepada RM36.9 bilion daripada RM33.7 bilion, sejajar dengan prestasi keseluruhan ekonomi Malaysia yang meningkat tiga peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Perkembangan itu, menyumbang sedikit kenaikan dalam penjualan elektrik iaitu sebanyak 1.1 peratus kepada 87,950 giga watt jam (GWj) dan RM2.9 bilion dalam keuntungan bersih.

Peningkatan dalam aktiviti ekonomi juga telah memberi sokongan kepada prestasi positif anak-anak syarikat TNB.

Perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) dilaporkan pada RM14.4 bilion (naik 4.6 peratus). Secara keseluruhan, margin EBITDA kekal pada 39 peratus, diimbangi perbelanjaan lebih tinggi yang bertumbuh 8.7 peratus daripada peningkatan aktiviti perniagaan.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, TNB mempunyai potensi untuk pertumbuhan.

Baharin

“Kumpulan menyaksikan penguncupan jualan elektrik sebanyak 6.7 peratus pada suku ketiga berbanding suku sebelumnya, kesan daripada peralihan dinamik yang disebabkan oleh pandemik berterusan.

“Kami terus bersiap sedia untuk menghadapi sebarang ketidaktentuan pada masa depan.

“Sebagai penjaga infrastruktur kritikal tenaga negara, mengekalkan pulangan yang munasabah adalah penting bagi TNB untuk mengimbangi penciptaan nilai kepada pemegang saham dan melabur semula ke dalam sistem bagi menjamin bekalan tenaga berdaya harap dan stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Penjanaan elektrik menerusi tenaga solar merupakan salah satu usaha TNB bagi meningkatkan penggunaan RE. 

Mengulas berhubung sasaran tenaga boleh baharu (RE) yang merupakan sebahagian daripada Hala Tuju Kelestarian TNB yang diumumkan pada Ogos lalu, Baharin berkata, pihaknya percaya hala tuju itu bakal membuka peluang pertumbuhan baharu, bertunjangkan aspirasi strategik TNB untuk menjadi pembekal terunggul solusi tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa.

“Menjelang 2035, portfolio penjanaan yang dirancang oleh TNB merangkumi 66 peratus RE, 24 peratus thermal bukan arang batu dan 10 peratus arang batu berbanding 14 peratus RE, 41 peratus thermal bukan arang batu dan 45 peratus arang batu pada 2021.

“Kami sedang meneroka dan melabur dalam teknologi hijau yang berpotensi untuk mempercepatkan perjalanan kami ke arah sifar bersih selepas 2035,” tegas Baharin. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI