MACHANG – Seorang jururawat di Hospital Tanah Merah dekat sini maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik dari alat pemanas air di dalam di bilik mandi rumahnya di Kampung Pangkal, di sini semalam.
Mangsa, Habibi Hussin, 46, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 3.50 petang ketika sedang menerima rawatan di Hospital Machang, di sini.
Menurut sumber, ahli keluarganya membawa wanita itu ke Hospital Machang selepas menyedari mangsa terkena renjatan elektrik.
“Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di hospital berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Mohd.Azman Yacob mengesahkan pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu.
Katanya, JKNK masih menjalankan siasatan berhubung punca sebenar kejadian yang menyebabkan mangsa terkena renjatan elektrik. – KOSMO! ONLINE














