IPOH – Penggunaan kuda dalam membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan tugas di sempadan Malaysia-Thailand berjaya mengekang aktiviti penyeludupan yang sebelum ini rancak dilakukan oleh pengkhianat negara.
Kawalan di Padang Besar, Perlis dan Kedah itu dikatakan telah menakutkan penyeludup dan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang mula mengintai untuk menceroboh negara melalui jalan tikus di sempadan.
Difahamkan, Unit Berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) itu digunakan dalam Op Benteng Wawasan Kedah/Perlis bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) di bawah pemerintahan Briged Utara.
Kehadiran unit berkuda telah menghentikan terus aktiviti penyeludupan di kawasan yang sebelum ini sering dijadikan lorong tikus oleh penjenayah. Unit itu diketuai Pegawai Pemerintah Unit Berkuda PSP, Deputi Superintendan Nurhidayah Damanhoori.
Tugasan itu telah bermula pada 10 November lalu melibatkan rondaan di 23 pos kawalan melibatkan Markas Taktikal PGA Bukit Kayu Hitam, Kedah ke Padang Besar, Perlis.
Timbalan Komander PSP, Asisten Komisioner Rosman Kasman berkata, unit yang berpangkalan di Markas PSP Cheras, Kuala Lumpur telah ditugaskan sejak 1995 secara berkala, namun penugasan baharu ini akan lebih lama.
Katanya, ia juga digunakan untuk mengawal sempadan susulan insiden berbalas tembak dengan penyeludup yang mengakibatkan seorang anggota PGA Senoi Praaq maut pada November 2019.
“Sebanyak sembilan ekor kuda bersama pegawai dan 17 anggota akan digunakan dalam Op Benteng ini yang akan berkawal dari Bukit Kayu Hitam hingga ke Padang Besar melibatkan jarak 20 kilometer.
“Tempat penyimpanan kuda turut disediakan. Unit ini bukan sahaja terhad kepada menjaga ketenteraman awam atau rondaan biasa sahaja sebaliknya berupaya meronda di sempadan sesuai dengan fizikal dan ketahanan kuda,” katanya kepada Kosmo!.

Tambahnya, setakat ini PDRM mempunyai 50 ekor kuda pelbagai baka antaranya Warmblood, Polo, Arab dan Thoroughbreds.
Menurut Rosman, tugasan itu bakal dikembangkan di sempadan negara melibatkan Kelantan dan Perak bagi mengoptimumkan peranan unit berkuda.
“Sejak unit itu ada, sebanyak 15 aktiviti penyeludupan dan menceroboh negara dapat dikekang dan terbaharu PGA merampas daun ketum bernilai RM120,000 dan menahan tiga individu di 10 lokasi di sekitar Perlis,” katanya.
Ujar Rosman, pihaknya turut merancang untuk membuat rondaan di pantai-pantai Semenanjung yang merupakan lokasi panas untuk jenayah melalui laut seperti pendaratan PATI, menyeludup rokok, arak dan lain-lain,” katanya.
Katanya, PSP merancang membina lebih banyak tempat menyimpan kuda di lokasi-lokasi yang akan dikenal pasti di seluruh Semenanjung.
“Perkara ini dapat direalisasikan nanti apabila penambahan perolehan kuda-kuda baharu yang akan digunakan sepenuhnya dalam penugasan berkenaan,” ujar beliau.
Dalam pada itu kata Rosman, kehadiran Unit Berkuda PSP akan memberi impak yang dapat mewujudkan kesejahteraan, keselamatan serta rasa yakin dalam kalangan masyarakat khususnya membabitkan kawalan di sempadan. -K! ONLINE














