fbpx

‘Sudah sebulan tidak dapat beli minyak masak peket’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NATRAH menunjukkan bekalan minyak masak peket yang sudah tidak diterima sejak sebulan lalu di kedainya di Kota Bharu.

PETALING JAYA – Golongan peniaga dan pengguna di seluruh negara menyuarakan keresahan selepas bekalan minyak masak bersubsidi atau minyak masak peket berkurangan sejak sebulan lalu sehingga mengganggu aktiviti harian orang ramai.

Rata-rata pengguna merungut apabila terpaksa ‘berebut-rebut’ untuk mendapatkan bekalan berikutan stok yang terhad.

Selain itu, terdapat peniaga dan pengguna yang tidak memperolehi bekalan minyak masak peket sejak sebulan lalu.

Tinjauan Kosmo! di Kota Bharu mendapati, seorang peniaga, Natrah Awang, 55, berkata, dia sudah tidak menerima minyak masak peket di premisnya, Dinar Mini Market di Pengkalan Chepa sejak sebulan lalu.

“Saya juga mendapat maklumat kebanyakan kedai dan pasar raya di kawasan berhampiran juga tidak mempunyai bekalan minyak masak peket ini.

“Jadi, kami setakat ini hanya menjual minyak masak botol kerana hanya stok bekalan itu sahaja yang ada,” katanya.

Di Kuala Terengganu, bekalan minyak masak peket di beberapa kedai runcit dan pasar raya di bandar raya ini dan Kuala Nerus mula kehabisan bekalan, manakala sebahagian lagi mengambil pendekatan mengehadkan pembelian kepada tiga peket bagi setiap pelanggan.

Seorang pelanggan, Zabedah Abdul Halim, 44, berkata, dia terpaksa membeli minyak masak botol tidak bersubsidi yang lebih mahal ekoran kesukaran mendapatkan minyak masak peket.

“Puas saya pergi ke banyak kedai runcit dan pasar raya tetapi susah hendak jumpa minyak masak peket.

“Saya dengar-dengar banyak bekalan diborong peniaga kedai makan dan restoran, tidak patutlah macam itu. Minyak masak subsidi sepatutnya untuk kegunaan rakyat marhaen seperti kami,” katanya.

PENIAGA di Kuala Terengganu terpaksa menampal notis mengehadkan hanya tiga peket minyak masak bagi setiap pengguna.

Di Kuala Langat, seorang peniaga kedai runcit di Kampung Kebun Bharu dikenali Eden, 30, berkata, para peniaga dan pe­ngusaha restoran mengeluh apabila bekalan minyak masak peket satu kilogram (kg) ha­nya diterima seminggu sekali.

“Para pembekal hanya menghantar bekalan berkenaan pada hari Jumaat setiap minggu. Jumlah diterima kira-kira 100 peket.

“Kadang-kadang tak sampai tiga hari, minyak peket licin dan orang ramai terpaksa menunggu untuk hantaran bekalan pada hari Jumaat seterusnya,” katanya.

Di Parit, seorang pengguna, Izuddin Saharudin berkata, pengguna terpaksa membeli minyak masak botol 1kg yang harganya lebih mahal berbanding minyak masak peket.

“Sudah hampir sebulan saya tidak melihat minyak masak peket dijual di pasar raya berdekatan rumah di Bandar Universiti, Seri Iskandar di sini,” katanya.

Di George Town, seorang pengusaha kedai runcit di daerah Barat Daya yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 43, berkata, dia lebih mengutamakan pelanggan tetap dalam urusan pembelian minyak masak peket yang dijual pada harga RM2.50.

“Kami tiada jalan lain selain perlu mengutamakan pelanggan tetap. Minimum pembelian minyak masak peket 1kg tetap dihadkan sehingga dua peket untuk isi rumah termasuk perlu membeli barangan lain ketika membeli,” katanya.

Di Alor Setar, seorang peniaga, Shahidah Mohamad, 60, berkata, dia terpaksa meletakkan minyak masak peket di kaunter berban­ding di hadapan kedai bagi menge­lakkan pengguna membeli de­ngan kuantiti yang banyak.

“Jadi saya terpaksa catu iaitu seorang pelanggan hanya boleh dapat sepeket atau dua peket sahaja,” katanya.

Di Bentong, Ketua Penguat Kuasa Kementerian Perdaga­ngan Dalam Negeri dan Hal Eh­wal Pengguna (KPDNHEP) Pahang, Normaswari Nordin memohon supaya peniaga kedai makan tidak menggunakan minyak peket bersubsidi yang dikhaskan untuk kegunaan isi rumah. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI