fbpx

Pegawai TUDM meninggal dunia di Amerika Syarikat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kolonel Hasnol Hisham

PETALING JAYA – Seorang pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang sedang menjalani kursus di Seattle, Washington, Amerika Syarikat meninggal dunia Ahad lalu.

Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalam satu kenyataan berkata, Kolonel Hasnol Hisham Abu Hassan meninggal dunia kira-kira pukul 10.58 malam waktu Seattle, Washington (2.58 petang Ahad waktu Malaysia) di Hospital St Joseph Medical Center Tacoma, Seattle, Washington.

Menurut kenyataan itu, Hasnol Hisham tidak sedarkan diri ketika menghadiri Program ‘Airman to Airman Talks (A2ATs)’ di Camp Murray Seattle, Washington yang bermula 14 sehingga 19 November lalu.

“Pada 16 November lalu, Allahyarham tiba-tiba tidak sedarkan diri dan telah dikejarkan ke Hospital St Joseph Medical Center Tacoma, Seattle, Washington bagi menerima rawatan dan menjalani pembedahan segera akibat “acute type of aortic dissection”.

“Namun, Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhir di hospital berkenaan. Isteri Allahyarham, Rohani Tahir turut berada di sisi suami ketika saat akhir beliau,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, jenazah Allahyarham Hasnol Hisham yang merupakan Pengarah Latih di Markas Tentera Udara-Bahagian Sumber Manusia (Latih) akan dikebumikan dengan istiadat pengebumian tradisi ketenteraan di Tanah Perkuburan Islam Covington, Washington hari ini.

Jelasnya, pengurusan jenazah Allahyarham akan dilaksanakan House of Mercy dan warga muslim Malaysia yang diketuai Kapten Ayub S. Laari, yang turut mengimamkan solat jenazah.

“Bagi urusan pengebumian, pihak Washington Air National Guard melalui Brigedier Jeneral, Gent Welsh telah menawarkan penghormatan untuk memberikan Istiadat Pengebumian Tradisi Ketenteraan kepada Allahyarham dan mengkoordinasi urusan pengebumian dengan dipantau oleh pegawai TUDM.

“Penasihat Pertahanan Malaysia di Amerika Syarikat Brigedier Jeneral, Mohd. Fadzil Mohd Diah telah mengkoordinasi dan berbincang dengan pihak Washington Air National Guard agar urusan pengebumian dilaksanakan mengikut tatacara yang sesuai dan sewajarnya,” ujar kenyataan itu. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI