fbpx

Tompokan buih putih cemari Sungai Masai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Permukaan air yang dicemari sisa tompokan putih di Sungai Masai menimbulkan kerisauan penduduk dan nelayan di Kampung Pasir Gudang Baru, Johor.

PASIR GUDANG – Kehadiran tompokan buih berwarna putih di Sungai Masai berhampiran Kampung Pasir Gudang Baru, di sini mengundang kerisauan penduduk di penempatan itu terutama kira-kira 250 nelayan pesisir pantai yang tertanya-tanya dengan kejadian terbabit.

Keadaan di sekitar jeti nelayan yang dipenuhi tompokan putih itu turut menyebabkan nelayan mengambil keputusan untuk tidak turun ke laut kerana gusar sisa tidak diketahui itu boleh merosakkan peralatan mereka.

Ketua Kampung Pasir Gudang Baru, Daud Saad berkata, beliau menerima maklumat sisa itu wujud sejak empat hari lalu selepas nelayan mendakwa air mula menunjukkan tompokan putih yang semakin membimbangkan.

“Kita harap keadaan ini tidak begitu serius tetapi sebelum ini penduduk terpaksa menanggung akibat apabila air berwarna hitam kerana masalah kumbahan. Penduduk baru sahaja lega tetapi masalah lain pula dialami,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Seorang nelayan, Hassan Mohamad, 60 berkata, dia sudah tidak turun ke laut sejak empat hari lalu kerana keadaan tersebut menyukarkan pergerakan dan meninggalkan kesan di dasar bot miliknya.

“Kami tidak tahu kesannya jika melekat pada enjin bot, apatah lagi kawasan tompokan putih ini mencapai jarak sehingga dua kilometer. Saya tidak pernah melihat kotoran seperti itu sejak 40 tahun menjadi nelayan malah permukaan air kelihatan seperti diselaputi bahan kimia,” katanya.

Seorang lagi nelayan, Alimman Jamal, 48, mahu agensi berkaitan mengambil tindakan segera kerana penduduk terutama nelayan sukar mencari rezeki.

“Ini bukan hanya kerana pencemaran tetapi kami akan mengalami kerugian jika peralatan rosak. Sekarang semua barang bukan murah dan ia akan jadi beban sekiranya terjadi apa-apa kejadian. Bot mungkin boleh dicuci tapi kos ganti jaring atau pukat lebih tinggi jika rosak,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) Zon Rinting 2, Mohd. Azizi Mohmad berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada pihak berkaitan dan laporan juga telah disampaikan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Saya sendiri telah melihat keadaan ini dan laporkan kepada pihak berkaitan. Kita tidak mahu perkara ini berlarutan kerana di sini juga bukan semata-mata perkampungan nelayan sahaja.

“Tetapi lokasi ini menjadi tarikan pelancongan ke Johor terutama kaki pancing ketika Pelan Pemulihan Negera (PPN) Fasa Empat yang diumumkan. Jadi kita mahukan kawasan ini selamat dan bersih untuk dikunjungi,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI