fbpx
Gambar hiasan.

Pendaftaran secara walk in dos penggalak bermula 22 November

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA -Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Penggalak (CITF-B) bersetuju membenarkan pengambilan suntikan dos penggalak secara jumpa terus atau ‘walk-in’ bermula 22 November ini.

CITF-B dalam satu kenyataan berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini bersetuju melaksanakan kaedah tersebut di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) fasiliti kesihatan swasta di seluruh negara.

Beliau berkata, pendaftaran secara walk-in akan dilaksanakan bagi individu yang layak pemberian dos penggalak serta individu yang ingin mendapatkan suntikan secara lebih awal sebelum janji temu.

“Selain itu, pendaftaran ini juga terbuka kepada individu yang masih belum menerima suntikan dos pertama atau kedua vaksin Covid-19.

“Individu yang terlepas janji temu vaksin dan remaja berusia antara 12-17 tahun yang belum melengkapkan vaksinasi juga turut dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, CITF-B berkata, walaubagaimanapun buat masa ini, keutamaan pemberian dos penggalak adalah kepada petugas barisan hadapan kesihatan, keselamatan dan pertahanan.

“Turut diberi keutamaan adalah individu berusia 40 tahun dan ke atas; individu berusia 18 tahun dan ke atas dengan komorbiditi.

“Penghuni dan petugas di Pusat Jagaan Kesihatan Jangka Panjang, ibu mengandung dan keperluan ke luar negara juga diberikan keutamaan,” ujarnya.

Dengan pendekatan ini, CITF-B percaya ia akan memudahkan dan menggalakkan individu yang layak untuk secara sukarela menerima dos penggalak lebih awal tanpa perlu menunggu lebih lama.

“Selain pendaftaran secara walk-in ke PPV fasiliti kesihatan swasta, pendaftaran juga boleh dilakukan melalui telefon dan emel.

“Orang ramai boleh merujuk dan menghubungi senarai PPV yang menyediakan perkhidmatan walkin/telefon/email untuk daftar temujanji ini melalui www.protecthealth.com.my bermula 22 November 2021,” katanya.-K! ONLINE

POPULAR