KUALA LUMPUR – Ubat diabetes yang semakin popular dijadikan alternatif untuk menurunkan berat badan kini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pakar perubatan apabila ia digunakan secara meluas tanpa pemantauan rapi doktor.
Pengarah Perubatan Megaklinik Dr. Suffian (MKDS), Dr. Suffian Sani Sayuti berkata, ubat berasaskan Semaglutide yang dijenamakan sebagai Ozempic pada asalnya dibangunkan untuk pesakit diabetes jenis 2, namun kini turut diluluskan di negara ini untuk rawatan obesiti.
“Di peringkat global, terdapat dua jenama berbeza tetapi dengan bahan aktif sama iaitu Ozempic untuk diabetes dan Wegovy untuk obesiti. Namun, di Malaysia ketika ini hanya Ozempic tersedia.
“Ozempic meniru hormon GLP-1 untuk kawal gula darah, kurangkan selera makan dan melambatkan pengosongan perut,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr. Suffian berkata, Semaglutide memang terbukti berkesan dalam membantu turunkan berat badan.

Namun di MKDS, pihaknya tidak bergantung kepada indeks jisim badan (BMI) semata-mata kerana angka itu mengelirukan.
“Sebaliknya, kami menilai peratusan lemak badan pesakit yang lebih tepat menggambarkan tahap kesihatan.
“Dengan protokol kami, penurunan berat badan pesakit yang bermotivasi boleh menyamai keberkesanan pembedahan bariatrik, asalkan disertakan pemantauan rapi, bimbingan pemakanan dan latihan kecergasan di bawah MKDS,” jelasnya.
Sementara itu, ditanya sama ada ubat tersebut selamat digunakan oleh individu tanpa diabetes, beliau menjawab ia boleh digunakan dengan syarat dipreskripsi, dipantau, dan dosnya diselaraskan oleh doktor.
“Tidak semua doktor mahir dalam rawatan ini. Di MKDS, doktor kami memiliki pelbagai sijil antarabangsa dalam pengurusan berat badan,” katanya.
Beliau turut menegaskan wujud risiko kesihatan jika ubat itu digunakan secara sembarangan.
“Kesan sampingan jangka pendek termasuk loya, muntah, sembelit atau cirit-birit. Dalam jangka panjang, tanpa pemantauan doktor, pesakit boleh hilang jisim otot, sedangkan otot amat penting untuk kesihatan metabolik, mengelak ‘rebound’ dan mengekalkan kekuatan tubuh.
“Kami tidak mahu pesakit sekadar nampak kurus, tetapi lebih ‘lean’ dan sihat. Sebab itu sokongan pakar dietitian dan jurulatih kecergasan adalah penting,” katanya.
Dalam pada itu, beliau bagaimanapun melahirkan kebimbangan terhadap trend penggunaan ubat diabetes sebagai ubat kurus yang kini semakin menular di negara.
“Trend ini membimbangkan. Kita sedang menuju kepada ‘keruntuhan masyarakat’ apabila komplikasi muncul akibat suntikan tanpa pemantauan pakar.
“Di Amerika Syarikat, saman mencecah AS$2 bilion berlaku akibat penyalahgunaan ubat ini. Lebih parah, fenomena ini diperkuatkan oleh pempengaruh, jurulatih gim, malah ada ‘beautician’ dan doktor sendiri yang menurunkan standard dengan menjual ubat seperti di TikTok,” katanya.
Katanya, antara tanda bahaya yang perlu diawasi termasuk loya dan muntah teruk, sakit perut, dehidrasi, serta perubahan penglihatan sekiranya ada individu yang menggunakan ubat berkenaan tanpa pemantauan doktor.
“Lebih bahaya, jika timbul masalah kesihatan akibat penggunaan sendiri, ia tidak akan dilindungi insurans, dan akhirnya membebankan sistem kesihatan kerajaan,” katanya.
Justeru, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan artis atau selebriti yang mempamerkan kejayaan menurunkan berat badan dalam masa singkat.














