PETALING JAYA – Sebanyak 30 premis tidak berlesen yang menjalankan aktiviti iklan dan prosedur estetik haram di media sosial diserbu sepanjang tahun lalu.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan kepada Kosmo! memaklumkan, 18 daripada kes tersebut telah dibuka Kertas Siasatan di bawah Seksyen 4, Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).
“KKM tidak akan teragak-agak untuk mengenakan denda maksimum sehingga RM500,000 bagi pertubuhan perbadanan atau hukuman penjara terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang ini,” katanya.
Ujarnya, KKM memandang serius trend promosi prosedur estetik haram di media sosial, khususnya di platform seperti TikTok dan beberapa langkah telah dan sedang dilaksanakan bagi membendung kegiatan berkenaan.
“Antaranya, Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menurunkan kandungan serta menyekat akaun mempromosi perkhidmatan estetik haram.
“Selain itu, maklumat hasil pemantauan digital akan disusuli dengan operasi serbuan di bawah Akta 586 terhadap premis yang menjalankan prosedur perubatan tanpa pendaftaran,” katanya.
Tambahnya, semua iklan berkaitan kesihatan mesti mendapat kelulusan Lembaga Iklan Ubat, manakala iklan mengelirukan atau mempromosikan ubat terkawal tanpa kebenaran merupakan kesalahan di bawah Akta Iklan Ubat 1956.
Pada 3 Februari lalu Kosmo! melaporkan, pakar estetik segera dilihat semakin berani mempromosikan suntikan pada payudara dan punggung di platform media sosial termasuk TikTok sekali gus mendedahkan pengguna kepada risiko termasuk kematian.














