PETALING JAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan mesej yang tersebar di media sosial kononnya klinik kesihatan (KK) tidak lagi akan menerima pesakit secara ‘walk-in’ bermula Januari 2026 adalah tidak benar.
KKM dalam kenyataannya berkata, walaupun sistem janji temu merupakan kaedah utama bagi mendapatkan rawatan di fasiliti tersebut, ruang untuk pesakit ‘walk-in’ masih disediakan.
“(Kaedah walk-in) Khususnya melibatkan kes kecemasan, warga emas dan golongan yang mempunyai kekangan akses teknologi. Pesakit tanpa janji temu tetap dilayan, namun perlu melalui proses penilaian (triage) terlebih dahulu,” katanya hari ini.
KKM memaklumkan, pesakit yang hadir dengan janji temu akan diberikan keutamaan mengikut slot masa yang ditetapkan.
Kementerian itu turut memahami akses teknologi adalah berbeza bagi setiap individu, justeru perkhidmatan ‘walk-in’ akan diteruskan bagi memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat akses rawatan yang adil dan saksama.
Terdahulu, tular satu hantaran berbentuk ‘pesanan khidmat pelanggan’ yang mendakwa orang ramai tidak lagi boleh mendapatkan rawatan secara ‘walk-in’ di mana-mana fasiliti KK dan perlu menggunakan sistem janji temu sepenuhnya.
Dakwaan itu mencetuskan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan orang ramai terutama warga emas dan mereka yang tidak mempunyai akses teknologi.- KOSMO! ONLINE














