BERBANDING berbuka puasa, sahur lazimnya dikaitkan dengan makanan seringkasnya dan ramai orang lazimnya tidak berbelanja banyak dan berselera besar untuk sahur di hening pagi.
Sekadar menjamah kurma bersama air putih atau cukup dengan menu mudah seperti nasi, telur dadar dan kicap di rumah.
Tidak hairanlah bila bercakap tentang bufet Ramadan pun, kita segera memahaminya sebagai bufet buka puasa berbanding sahur.
Mungkin segelintir beranggapan bufet sahur di hotel dianaktirikan oleh masyarakat, namun ironinya terdapat individu-individu yang sanggup berjaga awal semata-mata untuk merasai pengalaman bersahur yang berbeza.
Secara teori, banyak hotel di negara ini menawarkan bufet sahur sama ada ‘walk-in’ atau menginap kepada tetamu.
Terdapat harga serendah RM30 hingga RM55 ditawarkan secara ‘walk in’ untuk bersahur dalam suasana hotel yang menyajikan hasil air tangan cef.

Bahkan daripada pemerhatian di media sosial ada bufet sahur yang ditawarkan pada harga cuma RM18 di Hotel Grand Puteri, Kuala Terengganu yang menyajikan 20 jenis sajian.
Di Lembah Klang pula, antara yang menawarkan bufet sahur secara ‘walk in’ pada harga menarik ialah Seri Pacific Hotel pada harga RM45 dan Royale Chulan Damansara pada harga RM35.
Keterujaan untuk merasai pengalaman bersahur secara ‘walk-in’ atau tanpa penginapan di hotel membuatkan Nurul Farihin Mohd Noor, 33, sanggup berjaga seawal pukul 3 pagi sekali gus berbeza dengan rutin hariannya yang menyediakan hidangan di rumah.
“Saya akan mula bersiap sekitar pukul 3.30 pagi sebab memang jenis yang tidak suka kelam-kabut. Jadi, saya akan keluar lebih awal supaya sempat untuk makan dengan tenang sebelum imsak.
“Bersiap awal itu penting lebih-lebih lagi kalau hotel itu agak jauh, memang kena bersedia awal,” katanya kepada CitaRasa baru-baru ini.
Nurul memberitahu, sesekali dia akan mencuri peluang untuk bersahur secara ‘walk-in’ di hotel.
“Sesekali tidak salah tukar selera dan bersahur di hotel dan kita boleh memilih sama ada ingin pakej yang murah atau mahal, pilihan menu ditawarkan atau populariti hotel tersebut.
“Jika harganya dirasakan berbaloi, apa salahnya dapat makan sahur di tempat lebih selesa, rasa makanan enak, pilihan makanan yang banyak dalam satu masa, perkhidmatan terbaik dan paling penting tidak perlu fikir untuk masak sendiri,” katanya seraya berseloroh.
Ada juga masanya Nurul yang berasal dari Ipoh, Perak akan menginap saja di hotel ketika Ramadan kerana ingin merasai pengalaman bersahur di hotel dengan kosnya sekitar RM200 sehingga lebih RM300 (termasuk penginapan) terutama jika ke Kuala Lumpur.

Antara menu yang selalu disajikan sewaktu bufet sahur ialah nasi lemak (bersama pilihan lauk seperti rendang ayam, rendang daging, sambal paru), nasi goreng, lauk-pauk seperti ayam masak merah, ayam kicap, ikan goreng dan hidangan berasaskan mi serta sup.
Bufet sahur juga sering menyediakan hidangan seperti menu sarapan pagi antaranya stesen telur (omelet, telur dadar, telur mata kerbau), pastri bersama roti, sosej, bijirin, kurma, makanan sampingan (biskut, kerepek) serta minuman panas.
“Selalunya saya akan keluar dari Ipoh dan akan ke Kuala Lumpur kerana lebih banyak pilihan hotel. Sebelum ini saya pernah bersahur misalnya di Hotel Hilton Kuala Lumpur dan Palm Garden Putrajaya,” katanya.
Ditanya mengapa dia meminati bersahur di hotel, Nurul menganggap menikmati sahur di hotel sewaktu bulan Ramadan sebagai hadiah untuk diri sendiri, lagi pun boleh nikmati makanan berkualiti dan servis yang baik tanpa perlu penat sediakan masakan sendiri awal pagi.
“Untuk sahur di hotel, saya memang suka kerana bagi saya ia sesuatu yang unik dan berbeza daripada kebiasaan. Suasana awal pagi itu sendiri sudah memberi pengalaman yang lain.
“Mengeluarkan belanja sedikit untuk menikmati sahur di hotel tanpa menginap sekitar RM40 hingga RM80 seorang itu masuk akal, tetapi tetap bergantung kepada jenis hotel dan pilihan makanan.
“Kalau harga lebih tinggi, pasti ada nilai tambah seperti variasi bufet, servis premium atau lokasi menarik. Bagi saya, harga berbaloi bila menikmati pengalaman dan kualiti makanan seiring dengan bayaran dibuat,” ujarnya,
Begitu juga dengan Syuhadah Rashid yang terkenal dengan akaun SheWasThere di TikTok turut menjadikan aktiviti bersahur di hotel sebagai rutin setiap kali tiba Ramadan.

Bukan sahaja ingin merasai pengalaman gastronomi, tetapi ibu seorang cahaya mata itu gemar bercuti dan menginap di hotel semata-mata untuk mendapatkan peluang bersahur.
Menetap di Cheras, Kuala Lumpur, Syuhadah, 34, akan memilih percutian singkat di hotel sekitar ibu kota kerana tidak perlu menempuh perjalanan terlalu lama untuk tiba di lokasi.
Bahkan, dia juga menganggap perkara itu sebagai terapi untuk memulihkan tenaga di samping mengeratkan hubungan kekeluargaan.
“Selain menyeronokkan, cara ini juga dapat membantu kami untuk membuat persiapan lebaran jika hotel tersebut terletak berhampiran pusat beli-belah.
“Saya memilih lokasi sekitar Kuala Lumpur kerana dapat menjadikan percutian singkat hujung minggu di samping tetap memberi peluang kepada kami untuk fokus beribadah,” katanya.
Biarpun gemar bersahur di hotel, namun Syuhadah tidak menafikan terdapat beberapa hotel terkemuka menawarkan pakej harga yang tinggi khususnya di kawasan tumpuan pelancong. Hotel popular atau bertaraf lima bintang tentu sahaja akan membuatkan khalayak terbeliak biji mata tatkala melihat harganya.
“Pada pandangan saya, perkara ini bergantung kehendak serta kemampuan masing-masing dan tidak dianggap membazir jika dilakukan sekali-sekala.
“Ia bukan sekadar bersahur di luar, tetapi memberi peluang untuk berehat daripada rutin kerja rumah di samping meluangkan masa bersama keluarga dengan lebih berkualiti.
“Pengguna juga boleh membuat carian maklumat secara dalam talian untuk banding harga dan buat penilaian berdasarkan pilihan menu, tawaran harga dan ulasan pelanggan,” ujarnya.
Sebagai seorang yang sudah berkeluarga, lokasi hotel menjadi keutamaannya agar bukan sahaja dapat bersahur dalam keadaan selesa, tetapi dapat sempurna beribadah.
“Apabila mempunyai anak kecil ini, pemilihan lokasi memang penting sebagai contoh, apabila bersahur di hotel saya hanya perlu turun ke ruang bufet tanpa perlu bersiap lama atau mengejutkan anak terlalu awal.
“Selepas selesai makan, solat subuh juga dapat dilakukan dengan segera di bilik dalam keadaan selesa tanpa perlu tergesa-gesa,” ujarnya yang pernah bersahur di Capri Kuala Lumpur, Parkroyal Kuala Lumpur, Grand Hyatt dan Park Hyatt.
Sementara itu, pempengaruh dan pembimbing perniagaan, Ammar Izzuddin Mustaffa, 28, menyifatkan bersahur di hotel lebih praktikal buat mereka bekerja sehingga lewat malam atau mempunyai jadual kerja shif.
Bersahur di hotel juga secara tidak langsung memberikan keseronokan dan perasaan teruja menjalani ibadah puasa.
“Bagi saya, bersahur di hotel bukan sahaja selesa, tetapi memberikan kita peluang untuk menikmati pelbagai jenis juadah tidak kira makanan tempatan, Arab, Barat, masakan Cina atau apa sahaja mengikut tawaran hotel.
“Boleh dikatakan jika kita membeli satu per satu juadah juga mampu cecah harga seperti bersahur di hotel anggaran RM20 ke RM40, membuatkan pilihan bersahur di hotel lebih berbaloi.
“Seperti saya, pengalaman bersahur apabila kita boleh makan seberapa banyak yang diinginkan daripada kepelbagaian pilihan menu dengan hanya satu harga saja, memang berbaloi,” katanya yang pernah berpengalaman bersahur di De Palma Hotel Shah Alam, Selangor.
















