fbpx

Tukang masak maut dirempuh kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Motosikal yang ditunggang mangsa dirempuh sebuah kereta di Kilometer 1.8, Jalan Machang -Pasir Puteh, Machang hari ini. FOTO IHSAN POLIS

MACHANG – Seorang tukang masak maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Kilometer 1.8, Jalan Machang – Pasir Puteh berhampiran kawasan simpang tiga, Pejabat Tanah dan Jajahan Machang di sini semalam.

Mangsa, Johan Mazlan, 45, disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Machang di sini kira-kira pukul 2.45 pagi tadi akibat cedera parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Suprintendan Ganti Jimmy berkata, siasatan mendapati, kejadian berlaku pada pukul 9.15 malam semasa mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Ego dalam cuaca hujan lebat.

Menurutnya, dalam masa yang sama, sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu seorang pelajar berusia 18 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Machang menghala ke Pasir Puteh.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta berkenaan telah berhenti sebelum pemandunya dipercayai melihat motosikal mangsa telah memberi isyarat untuk membelok ke kiri dari arah bertentangan.

“Melihat kepada isyarat itu, pemandu kereta itu telah membelok ke kanan, namun mangsa tidak membelok ke kiri. Insiden itu telah menyebabkan kereta tersebut telah merempuh bahagian sisi kanan motosikal mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Ganti, mangsa yang mengalami cedera parah pada bahagian kepala telah dibawa ke Hospital Machang di sini untuk rawatan lanjut.

Katanya, selepas lebih lima jam bertarung nyawa, mangsa disahkan meninggal dunia di hospital itu pagi tadi.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI