fbpx
Gambar hiasan.

Gaji minimum RM1,200 tak relevan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Gaji minimum sebanyak RM1,200 yang dinikmati kumpulan penjawat awam ketika ini dianggap sudah tidak relevan dengan keadaan semasa selepas mengambil kira situasi ekonomi era pandemik Covid-19.

Mendedahkan perkara itu kepada Kosmo! Ahad, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, ramai penjawat awam kini terkesan dengan peningkatan kos sara hidup sehingga mereka sukar untuk menampung keperluan keluarga.

Lebih menyedihkan katanya, ada juga kalangan kakitangan awam yang terpaksa melakukan dua pekerjaan semata-mata untuk mencari pendapatan lebih bagi mengurangkan beban yang ditanggung.

Menurut Adnan, tindakan melakukan dua pekerjaan itu bukan sahaja untuk menampung kenaikan harga barangan, malah bagi belanja pendidikan yang harus diberikan kepada anak-anak serta mahu menjalani kehidupan yang lebih selesa.

“Peningkatan kos sara hidup yang tidak sejajar dengan pe­ningkatan dalam kenaikan gaji menyebabkan hampir keseluruhan gaji yang diterima diperuntukkan untuk membeli keperluan barangan harian, membayar sewa rumah atau pinjaman perumahan dan kenderaan.

“Gaji minimum yang ditetapkan kerajaan sebanyak RM1,200 ketika ini tidak mencukupi sekiranya hanya seorang daripada ahli keluarga yang bekerja dan masih tidak mencukupi sekiranya kedua-dua pasangan suami isteri bekerja disebabkan kos-kos lain seperti penjagaan anak dan sebagainya,” katanya.

ADNAN

Justeru, Adnan menggesa kerajaan agar mengkaji semula gaji minimum penjawat awam yang dilihat terlalu rendah dan tidak lagi sesuai dengan peningkatan kos sara hidup ketika ini.

Jelasnya, Cuepacs mencadangkan gaji minimum penjawat awam ditetapkan pada kadar RM1,800 sebulan berbanding kadar RM1,200 ketika ini, sekali gus memberi kelegaan kepada sejumlah kakitangan penjawat awam.

Sebagai rekod, penetapan gaji minimum RM1,200 sebulan sebenarnya dikuatkuasakan pada Julai 2016 berbanding RM837 sebulan dan sehingga kini tiada semakan semula dilakukan oleh kerajaan.

Tambahnya, penetapan gaji minimum bagi penjawat awam sebenarnya berkait rapat de­ngan cadangan Cuepacs yang mahukan kerajaan menyemak dan melaksanakan sistem saraan baharu bagi perkhidmatan awam yang telah mengguna pakai Sistem Saraan Malaysia sejak November 2002.

“Cuepacs berpendapat selepas hampir 20 tahun sistem saraan tersebut dilaksanakan, sudah tiba masanya kerajaan mengkaji semula sistem itu bagi memenuhi peningkatan kos sara hidup serta relevan dengan persekitaran ekonomi semasa negara,” ujarnya.

GAMBAR HIASAN

Menurutnya lagi, gaji permulaan RM1,200 untuk penjawat awam tanpa mengambil kira elaun lain masih jauh di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) negara iaitu RM2,208.

Namun, melalui penetapan gaji minimum RM1,800, ia sedikit sebanyak membantu memperbaiki taraf hidup penjawat awam.

“Kajian yang dilakukan oleh Bank Negara Malaysia dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja masing-masing menyasarkan gaji minimum yang sesuai untuk kos hidup pada masa kini ialah RM2,700 dan RM2,480 sebulan.

“Justeru, Cuepacs mencadang­kan gaji minimum tersebut dinaik­kan kepada RM1,800 dan sekiranya dicampur dengan pelbagai imbuhan, dianggarkan penjawat awam mendapat gaji RM2,200 sebulan,” katanya.

Dalam pada itu, Adnan turut menjelaskan, selama ini penjawat awam sering dijadikan perbandingan oleh sesetengah pihak yang tidak berpuas hati dengan apa yang diperoleh dalam setiap bajet yang diumumkan kerajaan.

Ujarnya, sama seperti Bajet 2021, bajet kali ini juga tidak terlepas daripada pertanyaan berbentuk sindiran mengapa penjawat awam masih lagi diberikan perhatian oleh kerajaan walaupun tidak terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Kami yakin perhatian kerajaan melalui apa yang diterima daripada Bajet 2022 adalah wajar kerana kami merupakan kumpulan yang bertanggungjawab menjayakan segala inisiatif kerajaan untuk rakyat,” katanya.

 

Sudah tiba masa kerajaan naikkan gaji minimum

PETALING JAYA –Gaji minimum pekerja tempatan harus dinaikkan menjelang tahun 2022 berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Pakar Ekonomi Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Ts Dr. Anuar Shah Bali Mahomed berkata, kenaikan gaji minimum kepada RM1,800 juga bukan sahaja boleh membantu pekerja menanggung komitmen, malah dapat membantu mereka membuat simpanan.

Katanya, peningkatan gaji minimum perlu diteliti dengan cermat kerana memberi impak sangat besar terhadap pendapatan golongan berkenaan.

“Gaji minimum RM1,200 adalah tidak mencukupi dan perlu diteliti semula kerana memberi impak kepada kehidupan pekerja, di mana mereka perlu menanggung komitmen yang tinggi seperti kos makanan, bayaran sewa, pengangkutan dan sebagainya.

“Selain itu, keperluan untuk kerajaan meningkatkan gaji minimum ini juga dilihat perlu berikutan krisis ekonomi yang berlaku terutama sekali sejak penularan pandemik Covid-19 di negara ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

ANUAR SHAH

Dalam pada itu katanya, kerajaan juga perlu memastikan harga barang adalah terkawal kerana sekiranya harga barang turut me­ningkat, maka ia tidak dapat memberi nilai tambah kepada kenaikan gaji sekiranya dilaksanakan.

Malah katanya, berdasarkan kajian daripada Kementerian Ke­wangan berkaitan kesan Pe­rintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 mendapati, satu pertiga isi rumah dan perniagaan tidak mampu untuk mengekalkan perbelanjaan lebih daripada sebulan.

“Jika harga barang turut naik, maka ia tidak akan mengubah apa-apa sekiranya gaji minimum itu dinaikkan. Kos sara hidup turut sama naik bukan sahaja membebankan, malah pekerja tidak berpeluang untuk menyimpan.

“Jadi, gaji minimum perlu dikaji bagi menampung keperluan harian pekerja tempatan selain daripada keperluan rakyat Malaysia untuk menabung dan menyimpan bagi kegunaan masa hadapan terutamanya sekiranya berlakunya sebarang krisis pada masa akan datang,” ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN