fbpx

Seorang pengunjung ‘fun fair’ maut terjatuh buaian berpusing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Di lokasi inilah dua pengunjung tersebut dipercayai terjatuh dari buaian berpusing tengah malam tadi.

KAJANG – Seorang pengunjung maut manakala seorang lagi cedera selepas dipercayai terjatuh dari buaian berpusing di sebuah tapak pesta ria atau ‘fun fair’ berhampiran Aeon Jusco Cheras Selatan, dekat sini tengah malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd. Nasir Drahman berkata, pihak polis menerima panggilan pukul 12.05 malam daripada seorang pekerja tapak pesta ria itu memaklumkan kejadian berkenaan.

“Saksi memaklumkan bahawa terdapat dua lelaki tempatan yang juga pengunjung telah terjatuh dari buaian berpusing di lokasi.

“Salah seorang mangsa berusia 38 tahun disahkan meninggal dunia oleh pihak ambulans (Hospital Kajang) yang hadir di lokasi kejadian manakala seorang lagi mangsa cedera berumur 30-an telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihaknya masih menyiasat punca sebenar kejadian sama ada terdapat kecuaian daripada pihak tapak pesta ria ataupun daripada mangsa sendiri.

“Setakat ini hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah berlaku di dalam kejadian tersebut.

“Kita telah membuka kertas siasatan dan telah mengklasifikasikan kes terbabit sebagai mati mengejut,” ujarnya.

Jelasnya, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk proses bedah siasat yang akan dijalankan dalam tempoh terdekat bagi mengetahui punca kematian. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI