fbpx

Dari Mahkamah Syariah: Bini kemaruk media sosial angaukan pucuk muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEJAK mengenali media sosial, Ika yang berusia 40 tahun mula curang di belakang suaminya sedangkan sebelum ini mereka hidup bahagia. – Gambar hiasan

TIDAK pernah terlintas di fikiran Zul (bukan nama sebenar) ikatan perkahwinan yang dibina dengan isteri tercinta, Ika (bukan nama sebenar) selama hampir 20 tahun berakhir dengan perceraian.

Perpisahan terjadi disebabkan Ika yang berusia pertengahan 40-an berlaku curang selepas berkenalan dengan seorang lelaki muda di media sosial.

“Media sosial telah menyebabkan Ika berubah dan berlaku curang di belakang saya. Sebelum ini, kami hidup bahagia bersama anak-anak,” kata Zul kepada K2 dengan nada kesal.

Cerita Zul, semuanya bemula sekitar tahun 2016 setelah Ika mula mempunyai akaun media sosialnya sendiri.

Sejak itu, wanita itu sering menghabiskan masa dengan melayari media sosial, ada kalanya sehingga larut malam.

Bagi Zul, dia tidak menghalang isterinya mempunyai akaun media sosial kerana sedia maklum, di zaman sekarang semua orang perlu memilikinya.

“Namun sejak sibuk dengan media sosial, dia jarang mempedulikan saya dan anak-anak kerana ‘berkepit’ dengan telefon pintar.

“Ada masanya Ika membawa telefon pintar ketika memasuki tandas,” ujarnya.

Sejak itu, Zul melihat perubahan drastik berlaku pada isterinya.

Ada kalanya Ika menolak apabila Zul mengajak mereka untuk bersama dengan memberi alasan penat bekerja.

Namun pada masa sama, Ika masih enggan berenggang dengan telefon pintarnya.

“Apabila saya bertanya dengan siapa dia berbual, Ika menjawab, bersembang dengan rakan-rakan lamanya di kumpulan WhatsApp.

“Namun, ada satu hal yang membuat saya mula curiga dengan Ika apabila melihat dia bercakap di telefon dengan seseorang kira-kira pukul 2 pagi,” jelasnya.

Ceritanya, pada ketika itu dia terjaga daripada tidur dan mendapati Ika tiada di sisi dan apabila ke ruang tamu, dia melihat isterinya itu sedang menelefon seseorang.

Apabila Zul bertanya dengan siapa dia berbual, Ika menjelaskan bahawa seorang rakan menelefonnya untuk meluahkan perasaan kerana bergaduh dengan suaminya.

Namun menurut Zul, kecurangan isterinya terbongkar setelah seorang rakan Zul ternampak Ika bersama seorang anak muda dan perilaku mereka kelihatan amat mesra.

Mengetahui hal itu, Zul tidak bertindak melulu sebaliknya ingin menyiasat terlebih dahulu.

Pada suatu hari, Zul mengambil keputusan untuk mengekori Ika dari jauh dan tindakan itu tepat apabila dia melihat isterinya bertemu dengan seorang lelaki muda berusia 20-an.

“Remuk hati saya apabila melihat kemesraan mereka seperti pasangan bercinta. Tanpa membuang masa, saya terus bersemuka dengan mereka dan isteri saya amat terkejut pada waktu itu,” kata Zul.

Zul terus meminta penjelasan dan Ika memberitahu, mereka hanya sekadar rakan biasa.

Dia terus membawa isterinya pulang dan ketika di rumah setelah didesak berkali-kali, Ika akhirnya mengakui dia curang di belakang Zul dan menyatakan bahawa lelaki muda itu adalah teman mesranya yang dikenali di media sosial.

Ika merayu untuk diberi peluang kedua dan berjanji akan memutuskan hubungan mesra dengan lelaki muda tersebut.

Memikirkan anak-anak, Zul akhirnya mengalah dan memberi kesempatan buat isterinya untuk berubah dan menyesal atas perbuatannya itu.

Bagaimanapun, jelas Zul, peluang kedua yang diberikan itu tidak digunakan sebaiknya oleh isterinya.

“Rupanya dia masih berhubung dengan lelaki itu dalam diam,” katanya lagi.

Sekali lagi kecurangan Ika terbongkar setelah dia tertinggal telefon pintarnya di dalam bilik air selepas mandi.

Zul yang kebetulan masuk ke dalam bilik air itu mengambil telefon tersebut dan membaca perbualan WhatsApp isterinya itu.

Dia amat terkejut melihat perbualan tersebut yang cukup mesra.

Bukan itu sahaja, malahan mereka berdua saling menghantar gambar yang tidak sepatutnya antara satu sama lain.

“Saya terus membawa telefon itu dan menunjukkan perbualan dan gambar yang mengaibkan itu kepada isteri.

“Ika terkejut dan lidahnya kelu untuk berkata-kata.

“Dia mengakui bahawa dia masih berhubung dengan lelaki itu dan amat menyayanginya,” kata Zul.

Mendengar hal itu, Zul bagaikan hilang pertimbangan dan pada ketika itu juga, dia menjatuhkan talak kepada isterinya itu.

Dia ternyata tidak boleh menerima perbuatan Ika yang kekal curang kepadanya dan akhirnya mereka sah berpisah di sebuah mahkamah syariah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI