Komander Maritim, Dr. Suzanna Razali Chan, 40, mencipta sejarah tersendiri selepas menerima pengiktirafan sebagai Ikon Wanita Dunia Carilamat peringkat Antarabangsa berdasarkan komitmen, kelayakan dan kepakarannya dalam bidang mencari serta menyelamat.
Beliau menjadi wanita Asia Tenggara pertama yang memenangi anugerah tersebutberdasarkan komitmen, kelayakan dan kepakarannya dalam bidang SAR Maritim.
Ini membuktikan bahawa wanita juga mampu menggalas tugas berat dalam bidang SAR di lautan setanding dengan golongan lelaki.
Ia juga membuktikan bidang SAR di Malaysia sebagai sesuatu yang boleh dibanggakan berbanding sebelum ini yang mana negara Barat sering menjadi perhatian dunia.
———————————————————————————————————————-
PENGALAMAN dan pengetahuan luas dalam bidang mencari dan menyelamat (SAR) menjadikan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana Maritim Malaysia, Komander Maritim Dr. Suzanna Razali Chan, 40, tokoh wanita disegani ramai dalam bidang tersebut.
Beliau membuktikan bahawa wanita juga mampu menggalas tugas berat dalam bidang SAR di lautan setanding dengan golongan lelaki.
Baru-baru ini, anak kelahiran Kajang, Selangor itu menerima pengiktirafan sebagai Ikon Wanita Dunia Carilamat peringkat Antarabangsa daripada Persekutuan Penyelamat Maritim Antarabangsa (IMRF).
Menerusi IMRF Awards 2021, Dr. Suzanna diangkat sebagai ikon bagi kategori Women in SAR berdasarkan komitmen, kelayakan dan kepakarannya dalam bidang SAR Maritim.
Kejayaannya itu menjadi kebanggaan negara kerana beliau merupakan wanita pertama di Asia Tenggara yang memenangi anugerah tersebut.
“Saya tidak menyangka memenangi anugerah ini kerana IMRF menerima banyak penyertaan terutama bagi kategori Women in SAR sehingga mereka sukar membuat pilihan.
“Pencalonan ini datang daripada seluruh dunia dan hanya 11 finalis yang dipilih untuk memenangi anugerah itu,” ujar pemegang Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang Pengurusan Perniagaan daripada Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.
Penyertaan menjadi semakin sukar apabila markah digabungkan untuk dua tahun iaitu 2020 hingga 2021.

Tambahnya, beliau gembira dan teruja dengan kejayaan itu kerana pihak luar mula memandang bidang SAR di Malaysia sebagai sesuatu yang boleh dibanggakan berbanding sebelum ini yang mana negara Barat sering menjadi perhatian dunia.
Untuk memenangi anugerah itu, calon perlu memenuhi kriteria seperti tempoh perkhidmatan yang lama di bidang SAR maritim, sumbangan seseorang pegawai untuk meningkatkan kualiti dan tindakan yang dilaksanakan untuk menarik wanita lain menceburi bidang tersebut.
Dr. Suzanna pernah membuat pembentangan mengenai Empowering Women in SAR di Kongres Penyelamat Maritim Dunia pada 2019 dan dijemput sebagai panel pembentang dalam bidang sama sempena Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac lepas.
“Saya pernah mengikuti beberapa kursus SAR di luar negara seperti mengetuai misi mengekang tumpahan minyak, selain turut dinobatkan sebagai pembentang terbaik yang mana kedua-duanya berlangsung di Yokosuka dan Yokohama, Jepun.
“Bukan mudah untuk dinobatkan sebagai pembentang terbaik dan saya orang pertama menerimanya,” katanya yang juga merupakan tutor sambilan dalam bidang Perakaunan dan Kewangan di Universiti Terbuka Malaysia.
Beliau juga pernah membuat pembentangan di Kanada dengan mengulas isu memperkasa wanita dalam bidang SAR maritim.’
Ketika itu, dia memenangi kategori poster terbaik sehingga namanya mula dikenali.
Dr. Suzanna memberitahu, kecintaannya sebagai anggota pakaian seragam telah timbul sejak kecil dan di usia masih muda, beliau telah diajar oleh arwah ibu untuk berenang sehingga tidak gentar berhadapan dengan air.

Ketika melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Ijazah Perakauan (Sistem Maklumat) di Universiti Utara Malaysia, beliau mengikuti Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Laut (Palapes-Laut).
Minatnya sebagai pegawai laut tidak pernah padam walaupun sebelum ini pernah bertugas dalam bidang perakaunan selama tiga tahun dan bergelar pensyarah.
Bagi meneruskan cita-citanya itu, pada 2007 beliau menyertai Maritim Malaysia (APMM) sebagai Leftenan Maritim.
“Saya sekarang bertugas di Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana Maritim Malaysia yang memberi fokus kepada operasi SAR merangkumi apa jua kes kecemasan di laut.
“Kesemua kecemasan maritim dikoordinasi oleh bahagian saya iaitu di Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Putrajaya. Ia kemudian disalurkan kepada Pusat Penyelasan SAR Maritim di lokasi kejadian bagi menjalankan operasi,” tuturnya.
Selain itu, beliau juga merupakan Felo Bersekutu di Institut Kajian Strategik dan Pembangunan Perakaunan Mampan (ISSAD), Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Intan Safinaz (TISSA), Universiti Utara Malaysia dan juga Penyelidik Bersekutu di Fakulti Pengajian Maritim, Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Kekuatan anggota di Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana Maritim Malaysia di ibu pejabat ialah 25 orang dan tiga daripada jumlah itu ialah wanita termasuk Dr. Suzanna.
Di Maritim Malaysia, hanya 4.8 peratus dianggotai oleh anggota wanita dan ia tidak menghalang mereka untuk bersama-sama menyumbang bakti.
Bahagian itu turut terlibat dalam menentukan dasar dan menyediakan polisi berkaitan SAR dengan agensi luar.

Di samping itu, bahagian tersebut juga bertindak sebagai platform misi bantuan bencana maritim serta menjalankan program kesedaran keselamatan di laut.
“Selain mengetuai bahagian ini, saya juga bertugas sebagai jurulatih SAR maritim sejak 2011 di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah di Pahang.
“Saya turut mengajar di agensi bantuan SAR lain seperti Tentera Laut Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat,” ujarnya.
Sepanjang 14 tahun berkhidmat dengan Maritim Malaysia, misi menyelamatkan kapal platform pelantar minyak, MV Dayang Topaz di Miri, Sarawak antara pengalaman yang tidak boleh dilupakannya.
Cerita Dr. Suzanna, kapal tersebut yang mempunyai 189 anak kapal mengalami kerosakan apabila satu daripada empat rantai sauhnya terputus dan terlanggar pelantar minyak ekoran taufan Molave pada 27 Oktober lalu.
Disebabkan itu, seramai 127 anak kapal panik dan terjun ke dalam laut sehingga panggilan kecemasan dibuat bagi menyelamatkan mereka.
“Saya bersama lima anggota bertungkus-lumus di bilik kawalan ibu pejabat selama 12 jam untuk menyelamatkan mangsa sehingga tidak makan dari pagi hingga malam.
“Syukur kami berjaya menyelamatkan 125 anak kapal dan malangnya dua lagi meninggal dunia,” jelasnya yang juga terlibat dalam misi pencarian kapal Orkim Harmoni dan membantu misi kehilangan pesawat MH370.
Berbicara mengenai gerak kerja SAR maritim, beliau berkata, pihaknya terlebih dahulu perlu memastikan laporan kecemasan itu sahih sebelum menghantar anggota dan aset ke tempat kejadian.
Menjalankan SAR di lautan tidak semudah di daratan kerana ia dipengaruhi oleh cuaca, arus, pasang surut dan ombak serta kesukaran berkomunikasi terutama kapal atau bot kecil yang tidak mempunyai sistem komunikasi khas di lautan.

“Jika di daratan, kemalangan itu akan berada di tempat sama tetapi berbeza di lautan yang mana mangsa akan dibawa arus sehingga sukar mengesannya.
“Saya pernah mengikuti misi menyelamat selama 15 hari untuk mencari mangsa lemas dan ia sangat sukar kerana faktor-faktor tersebut,” ujarnya.
Dalam melaksanakan misi menyelamat, Suzanna amat menitikberatkan keselamatan anggotanya, apatah lagi dalam situasi pandemik Covid-19.
Tugas mereka semakin mencabar terutamanya membawa pesakit keluar dari pulau menggunakan bot.
Beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengamal tip keselamatan ketika berada di laut seperti memakai jaket keselamatan dan tidak panik jika terjatuh ke dalam laut kerana ia bakal memburukkan lagi keadaan serta sukar untuk dibantu.
















