fbpx
BONGKAH batu besar perlu ditempuh pendaki untuk sampai ke puncak Gunung Datuk.

Walau sukar, Gunung Datuk tetap jadi pilihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AKTIVITI mendaki bukit atau gunung kini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat terutamanya anak muda dalam menjalani amalan gaya hidup sihat.

Bagi penggemar aktiviti lasak itu, semakin sukar sesebuah gunung untuk ditakluki, semakin berkobar-kobar minat mereka untuk menjelajahinya dan akan mengulanginya lagi pada masa depan.

Ia seolah-olah ‘berhantu’ dan mereka yang sebati dengan aktiviti mendaki tidak dapat duduk diam dan resah sekiranya tidak dapat melakukannya.

————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————

 

 

Walaupun dianggap sedikit ‘kejam’, trek dengan kecondongan menghampiri 80 hingga 90 darjah bagi pendakian Gunung Datuk di daerah beradat ini tetap menjadi tumpuan penggemar aktiviti pendakian.

Gunung Datuk merupakan puncak tertinggi di daerah Rembau, Negeri Sembilan dengan ketinggian 884 meter dari aras laut, menjadi lokasi riadah bagi mereka yang gemar aktiviti mendaki.

Tidak kurang juga ada yang menjadikan laluan ini sebagai lokasi latihan pada setiap minggu sebelum mendaki gunung tertinggi di Asia Tenggara, Gunung Kinabalu dan juga gunung tertinggi di dunia, Everest.

Mengambil masa sekitar dua hingga tiga jam untuk sampai ke puncak, kebanyakan gemar mendaki pada awal pagi untuk melihat matahari terbit.

Antara pemandangan yang disajikan di trek gunung ini ialah cabaran mendaki batu-batu besar dan juga di puncaknya terdapat bongkah batu besar yang perlu ditempuhi pendaki.

Sekiranya cuaca baik, pendaki boleh melihat kapal belayar di Selat Melaka dari puncak gunung berkenaan.

CABARAN melepasi bongkah batu di pertengahan pendakian dirindui setiap pendaki tegar yang pernah ke sana.

Gunung Datuk juga menyimpan 1,001 kisah sejarah kerana di atas batu puncaknya dikatakan terdapat kesan tapak kaki Laksamana Hang Tuah.

Menurut Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Saleh Awaludin, sehingga 18 Oktober lalu, seramai 4,300 pengunjung dicatatkan mendaki di Gunung Datuk.

“Tahun ini Hutan Simpan Kekal ditutup bagi sebarang aktiviti pendakian susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Namun sebaik sahaja diberikan kelonggaran bagi aktiviti pendakian, pada bulan Ogos sahaja seramai 430 individu telah mula mendaki Gunung Datuk.

“Jumlah berkenaan semakin bertambah pada bulan lalu (September) iaitu seramai 2,300 pendaki direkodkan dan buat bulan ini (Oktober) sehingga 18 Oktober, seramai 1,500 pendaki telah direkodkan,” katanya baru-baru ini.

Saleh berkata, gunung berkenaan sering menjadi tumpuan penggemar aktiviti pendakian kerana pemandangan 360 darjah kawasan hutan dan perkampungan yang cukup indah sekiranya pendaki berada di puncak.

PENGUNJUNG diminta bersama-sama menjaga keindahan Gunung Datuk dengan menjaga kebersihan.

Lebih menarik lagi menurutnya, bagi mereka yang gemar kepada pendakian ekstrem mereka boleh melanjutkan pendakian melalui trek Trans Naning yang menghubungkan dua lagi gunung iaitu Gunung Rembau dan Gagak.

“Lokasi gunung ini yang strategik iaitu berdekatan Lembah Klang dan Melaka menjadikan ia merupakan antara gunung popular dikunjungi pendaki dari luar Negeri Sembilan.

Menurutnya, melihat potensi yang ada pada Gunung Datuk berkenaan, pihaknya juga ada membuat beberapa perancangan untuk menaiktaraf beberapa kemudahan di lokasi tersebut pada tahun hadapan.

“Bagaimanapun ia masih lagi di peringkat permohonan peruntukan membabitkan naik taraf kemudahan seperti chalet, trek pendakian serta menambah kapasiti tapak parkir.

“Malah, kita juga merancang untuk membina tarikan baharu iaitu jambatan gantung,” katanya.

KEINDAHAN pemandangan luas terbentang dengan kehijauan alam sayup mata memandang menanti pendaki yang berjaya sampai di puncak Gunung Datuk.

Susulan menjadi tarikan, pendaki dinasihatkan untuk bersama-sama menjaga keindahan serta kecantikan Gunung Datuk.

“Selain perlu mendapatkan permit masuk ke hutan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), pendaki juga dinasihatkan untuk menjaga kebersihan dan membawa keluar sampah sendiri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN