fbpx

Bangkit berniaga lepas putus cinta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NUR ALEEYA

GADIS yang menghiasi kolum Pesona Ahad pada minggu ini boleh disifatkan sebagai seorang yang kental. Pada usia 21 tahun, pemilik nama Nur Aleeya Farisya Nor Asman sudah memiliki perniagaan menjual bengkung.

Menurut gadis yang berasal dari Kuantan itu, idea untuk menjual produk tersebut timbul selepas dia putus cinta. Nur Aleeya berkata, dia mahu bangkit melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan hasil selepas dirundung kesedihan setelah hubungan terputus di te­ngah jalan.

Tegas anak bongsu daripada lima beradik itu, dia mahu kekal fokus dengan bidang baharu tersebut. Selain berniaga, gadis berketinggian 160 sentimeter ini meminati bidang peragaan dan menyandang gelaran Naib Johan Miss Batik Pahang 2019.

Kepada wartawan Kosmo! Ahad, lulusan Sijil Pelajaran Malaysia ini bercerita lanjut mengenai dirinya termasuk impian memiliki banglo pada usia 30 tahun.

Kosmo! Ahad: Boleh ceritakan lebih lanjut mengenai perniagaan bengkung?
Nur Aleeya: Saya menjalankan perniagaan ini pada November 2020 setelah kecewa putus cinta pada tahun sama. Jadi saya terfikir untuk melakukan sesuatu supaya dapat fokus dan bangkit daripada kekecewaan.

Kenapa memilih bengkung?
Saya lihat wanita sekarang amat mementingkan kecantikan dan bengkung menjadi pilihan buat mereka yang mahu kelihatan ramping. Bengkung juga digunakan oleh semua lapisan umur termasuk ibu dalam pantang. Harganya pula berpatutan.

Apa yang mendorong anda memilih peragaan?
Saya suka bergaya dan kerap menyertai pertandingan peragaan sejak di bangku sekolah. Dengan menyertai peragaan, ia dapat menambah keyakinan berdepan orang ramai. Pengalaman yang tak dapat dilupakan adalah dinobat Naib Johan Miss Batik Pahang 2019.

Boleh kongsikan rahsia kecantikan anda?
Definisi cantik itu amat luas. Bagi saya, sentiasa berfikiran positif dan gembira akan menonjolkan personaliti hebat.

Ciri-ciri lelaki idaman?
Saya menyukai seorang lelaki pembersih dan kemas selain lembut pertuturan. Saya juga mudah jatuh hati dengan lelaki yang menghormati orang tua.

Apa impian Nur Aleeya?
Membeli banglo untuk keselesaan keluarga dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Pandangan Nur Aleeya me­ngenai antivaksin?
Mendapatkan vaksin Covid-19 itu hak individu, namun nasihat saya jangan terasa diri dipulaukan jika tidak mengambil pelalian tersebut. Vaksin Covid-19 bukan sahaja untuk melindungi diri sendiri tetapi demi kesejahteraan kepada semua pihak. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI