fbpx

PBT kaji kawasan rehat sesuai di CSR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN sampah sarap yang dibuang di tepi jalan Lebuh Raya CSR di Lipis baru-baru ini.

KUANTAN – Kerajaan negeri memandang serius isu ketiadaan kemudahan di Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) yang membebankan pengguna jalan raya serta menyebabkan masalah pencemaran sampah sarap dan juga najis.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam perancangan untuk membina kemudahan bersesuaian termasuklah kawasan rehat dan rawat di lebuh raya berkenaan.

“Kita faham mereka yang melalui perjalanan jauh perlukan tempat singgah, sama ada untuk berehat, solat, makan minum, menggunakan tandas dan juga bila ada kecemasan.

“Jadi kita minta PBT yang berkaitan mengkaji daripada segi tempat yang bersesuaian untuk menyediakan kemudahan asas seperti tempat solat, tandas dan sebagainya,”katanya di sini, hari ini.

Semalam Kosmo! melalui ruangan analisis semasa melaporkan mengenai masalah najis dan sampah sarap yang mencemari Lebuh Raya CSR setiap kali musim perayaan dan cuti umum.

Masalah tersebut dilihat berpunca daripada ketiadaan kemudahan kawasan rehat dan rawat serta kemudahan asas yang memaksa pengguna lebuh raya tersebut berhenti di tepi jalan.

Lebuh raya CSR merupakan projek berimpak tinggi menghubungkan Kelantan dengan Pahang sepanjang 306.8 kilometer melibatkan kos keseluruhan RM7.3 bilion yang dijangka siap sepenuhnya pada 2026.

Menurut Norol Azali Lebuh Raya CSR merupakan Jalan Persekutuan dan bukan seperti lebuh raya lain yang dipegang oleh mana-mana konsesi untuk menguruskan penyelenggaraan dan sebagainya.

Justeru katanya, prasarana dan kemudahan boleh dibangunkan oleh PBT di kawasan terbabit yang kebiasaannya dilakukan selepas melihat kepada keperluan pengguna lebuh raya tersebut.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI