fbpx
ANGGOTA Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam mengeluarkan penunggang motosikal yang terperosok di bawah kereta BMW di Kilometer 74.7 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran RnR Machap, Kluang petang semalam. Foto IHSAN JBPM

Suami maut digilis BMW selepas Harley terbabas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLUANG – Seorang lelaki maut dalam keadaan tragis selepas motosikal berkuasa tinggi ditungganginya terbabas sebelum dia digilis sebuah kereta BMW dalam kemalangan di Kilometer 74.7 Labuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Machap, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.25 petang itu, mangsa, S.P. Thavasegaran, 47, yang menunggang motosikal jenis Harley Davidson Street Glide meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dan mayatnya dibawa ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang untuk proses bedah siasat.

Isterinya, D. Shivamalar, 44, yang membonceng motosikal tersebut pula cedera di bahagian bahu kiri dan kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, siasatan awal mendapati motosikal dan kereta BMW dipandu lelaki berusia 25 tahun itu sedang dalam perjalanan dari Johor Bahru menghala ke Batu Pahat.

Menurut beliau, ketika tiba di lokasi kejadian, penunggang motosikal dipercayai cuba memasuki kawasan RnR Machap secara mengejut sebelum hilang kawalan lalu terbabas.

“Pasangan suami isteri tersebut terjatuh di lorong kiri sebelum terseret ke lorong kanan lebuh raya. Pada masa sama, sebuah kereta BMW yang berada tidak jauh di belakang gagal mengelak lalu melanggar penunggang motosikal sehingga mangsa terperosok di bawah kenderaan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pemandu BMW terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN