fbpx

Red Rahimad tumpang nama Ezad Lazim dalam Celup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RED RAHIMAD berharap gandingan bersama Ezad akan memperluaskan lagi potensi pengaruh pagu baharunya, Celup di mata peminat.

NAMA penyanyi Red Rahimad mungkin masih asing dalam kalangan peminat dan pencinta muzik tanah air, namun itu bukan penghalang buat anak muda berusia 21 tahun itu terus mengorak langkah dalam bidang diceburi.

Bagi Red Rahimad atau nama sebenarnya Muhammad Redha Rahimad, apa yang penting adalah usaha dan kerja keras. Dia juga yakin jika bakat yang dimiliki tidak boleh dipendam begitu saja.

Siapa sangka, selain boleh menyanyi dengan baik, Red Rahimad juga sudah bergelar singer song writer apabila menghasilkan sendiri lagu nyanyiannya serta turut mencipta lagu buat beberapa penyanyi lain.

Selepas melancarkan single Cahaya pada sambutan Ramadan lalu, terbaharu Red Rahimad muncul dengan single kedua bawah syarikat rakaman COF Music berjudul Celup, sekali lagi berkolaborasi bersama penyanyi Ezad Lazim.

Selaku pencipta penuh Celup, Red Rahimad berasa bertuah kerana Ezad menerima tawaran berkenaan selain menyifatkan kolaborasi mereka sebagai sebuah rezeki.

“Saya dapat berikan kepercayaan kepada Ezad untuk featuring bersama dalam lagu ini.

“Sebab saya tahu suara Ezad sedap. Lagi pula kami pernah bekerja dalam lagu yang saya tulis sendiri iaitu Cahaya yang dilancarkan pada Ramadan lalu.

RED RAHIMAD, penyanyi baharu yang turut bergelar ‘singer song writer’.

“Ketika itu saya berborak mengenai lagu Celup ini. Saya dengar dia menyanyi depan mata, terus jatuh hati dengan suara dia. Jadi saya minta dia bekerjasama dalam lagu ini,” katanya.

Menurut Red Rahimad, tidak timbul soal Ezad lebih menyerlah berbanding dirinya kerana masing-masing ada pembahagian dalam lagu Celup itu.

“Bagi saya, kalau berkolaborasi dengan sesiapa pun pasti akan berasa macam ini. Sebab mesti orang nak dengar mereka kan. Kita nak feat dengan mana-mana penyanyi mestilah mereka pun ada latar belakang dan peminat tersendiri.

“Bagi saya dapat berkolaborasi dengan Ezad adalah rezeki. Ini adalah kolaborasi kedua kami.

“Jadi, jika rezeki nak datang, kalau kata lebih menyerlah, pun okey. Mungkin dari situ peminat akan tertanya-tanya siapa Red Rahimad? Kenapa Ezad Lazim nak kolabrasi dengan dia? Dari situ mereka akan buat semakan siapa komposer, penulis lirik

“Kalau bagus, baguslah. Kalau ada kekurangan mereka boleh tegur.

“Suara dan kritikan netizen pun kadang membantu dari segi proses menambah baik dalam penghasilan lagu selepas ini. Tapi dalam lagu ini saya ada juga letak strategi yang mana orang pun nak dengar bahagian saya selain nyanyian Ezad saja,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai Celup, lagu berkenaan sudah disiapkan sejak Januari tahun lalu. Ini bermakna dia mengambil masa lebih setahun untuk dilancarkan.

“Lagu ini saya rakam sendiri sebelum bergabung dengan COF Music iaitu pada penghujung Januari tahun lalu. Lagu ini tidak ditulis semula. Proses rakaman pula dibuat selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini. Kiranya lebih setahun juga lagu ini disimpan sebelum dapat dilancarkan

“Saya dan Ezad buat rakaman berasingan. Apabila tiba giliran Ezad, saya ada di situ sebab saya nak pastikan melodi masih kekal sama. Sebab bagi saya melodi asal sudah sedap.

Alhamdulillah, Abang Ezad dapat bawa dengan baik,” katanya.

Kepalsuan

Mengenai susunan muzik, Red Rahimad mengetengahkan rentak old school yang turut memberi sentuhan irama muzik Melayu lama pada bahagian korus.

“Celup bermaksud tiruan atau palsu. Mengenai isi lagu ini mengisahkan seseorang sama ada lelaki atau wanita yang memiliki perwatakan palsu dalam diri mereka.

“Sebagai contoh dalam berkawan, masing-masing nak tunjuk kehidupan mewah semata-mata untuk paparan di media sosial. Dari segi percintaan, seseorang itu menggunakan watak lain untuk menarik minat seseorang. Sedangkan hakikatnya dia berbeza.

“Ini yang saya fikir sewaktu menulis lagu dan lirik ini. Tidak ada proses re-write atau perubahan lirik langsung sebelum proses rakaman dibuat. Sebab lirik yang digunakan bersahaja saja.

“Apa yang pasti, cerita penuh lagu ini semuanya mengisahkan mengenai sikap, tingkah laku, perilaku, perbuatan atau apa saja yang boleh dikaitkan dengan palsu, tiruan atau celup.

“Dalam lagu ini ada juga ada menyentuh beberapa isu tentang keluarga, pekerjaan dan sebagainya. Kiranya ini waktu sesuai saya melancarkan lagu ini. Lagu ini pun tak berkias atau menyindir sesiapa dan tak kontroversi pun. Jadi saya tidak berasa ragu-ragu terhadap lagu ini,” katanya.

Lagu dan video muzik Celup nyanyian Red Rahimad dan Ezad dilancarkan secara rasmi pada 22 Oktober menerusi saluran YouTube COF Music.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI