fbpx

K2

Ilmu ikhtiar hidup hadapi kemungkinan buruk di hutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. SOFIAN menunjukkan cara menghidupkan api primatif.

SEWAKTU melakukan aktiviti meredah hutan yang terletak di Hulu Langat, Selangor, Norhasliza Nordin ditakdirkan tersesat di situ dengan seorang rakannya.

Pilihan yang ada untuk wanita berusia 44 tahun itu dan rakannya adalah dengan meneruskan
kelangsungan hidup menggunakan sumber-sumber hutan.

Berbekalkan mancis dan parang yang dibawa, mereka perlu memanfaatkan peralatan tersebut bagi mencari makanan, air serta membuat tempat perlindungan diri sebelum bantuan tiba.

Dengan menggunakan ilmu yang ada, mereka meneruskan hidup dengan memakan umbut rotan dan buahbuahan hutan serta meminum air yang mengalir dari celah-celah batu.

Mereka berlindung daripada binatang buas dan angin sejuk di bawah bongkah batu besar beranjung dengan ditutupi dahan-dahan pokok renek pada bahagian depan.

Selepas dua hari meneruskan hidup menggunakan sumber hutan, akhirnya mereka berjaya diselamatkan
oleh sekumpulan pendaki lain yang kebetulan melalui kawasan berkenaan.

Itulah sebahagian daripada situasi yang perlu dilalui oleh Norhasliza dan 20 peserta lain yang menyertai kursus ikhtiar hidup anjuran sebuah organisasi aktiviti luar.

Peserta kursus selama empat hari tiga malam itu didedahkan dengan teori ilmu ikhtiar hidup sebelum mengaplikasinya secara praktikal di dalam hutan.

“Saya sangat teruja dapat belajar dan melalui sendiri pengalaman ikhtiar hidup menggunakan sumber hutan buat pertama kali. Ia sesuatu yang menarik, meskipun hanya simulasi.

“Pada mulanya, saya bimbang juga sekiranya gagal untuk meneruskan hidup. Ternyata kami berjaya mengaplikasikan setiap teori yang dipelajari dalam kursus ini,” katanya

ketika ditemu bual K2 baru-baru ini. Norhasliza yang juga seorang guru menambah, tujuan utama dia menyertai kursus ikhtiar hidup itu adalah untuk mempersiapkan diri sekiranya berlaku
sebarang kemungkinan seperti tersesat di dalam hutan.

Jelasnya, sebagai peminat aktiviti luar seperti mendaki dan berkhemah, keberangkalian untuk tersesat di dalam hutan sentiasa ada dan dia tidak boleh leka.

“Saya boleh dikatakan aktif dengan aktiviti luar. Setiap minggu ada sahaja aktiviti dilakukan. Jadi, satu keperluan untuk mengetahui serba sedikit ilmu ikhtiar hidup.

“Saya belajar perkara ini bukan untuk jadi komando, tetapi cukup sekadar pedoman sekiranya keadaan mendesak,” terangnya lagi.

API dapat diperoleh secara primitif menggunakan sumber semula
jadi seperti buluh.

 

Menariknya, kursus ikhtiar hidup tersebut dikendalikan oleh seorang moderator yang mempunyai
pengalaman luas dalam selok-belok hutan di negara ini.

Moderator tersebut, Mohd. Sofian Empatie, 47, memaklumkan, kursus ikhtiar hidup dikendalikannya
semakin mendapat perhatian daripada masyarakat terutamanya peminat aktiviti luar dan lasak.

“Saya anjur kursus ini selepas mendapati masyarakat di negara ini masih kurang pengetahuan dalam
ilmu ikhtiar hidup. Ia disebabkan tiada individu yang pakar dalam bidang berkenaan.

“Pada peringkat awal dahulu, saya hendak cari 10 orang peserta pun susah.Kini, semakin ramai yang berminat dengan kursus ini terutamanya dalam kalangan kaki outdoor,” tegasnya.

Mohd. Sofian memberitahu, minatnya terhadap ilmu hutan bermula sejak kecil lagi memandangkan dia dibesarkan dalam persekitaran hijau di sekitar Kapit, Sarawak.

Katanya, ketika kecil, dia banyak belajar mengenali pokok-pokok hutan dan binatang yang terdapat di dalamnya sebelum diasah kemahirannya ketika berkhidmat dalam pasukan komando selama 22 tahun.

“Sejak lahir, saya memang hidup dalam persekitaran hutan. Boleh dikatakan, hidup saya ini banyak dihabiskan di hutan berbanding kawasan bandar.

“Justeru, banyak ilmu-ilmu hutan yang saya pelajari daripada orangorang tua di kampung. Dalam
pasukan komando, saya diajar daripada aspek mental dan fizikal,” jelasnya.

Mohd. Sofian atau lebih dikenali sebagai Pendekar Rimba memaklumkan, ilmu yang ada pasti akan sia-sia andai tidak dikongsikan dengan masyarakat.

Rentetan itu, dia memilih berkongsi ilmu ikhtiar hidup melalui kursus bersemuka atau video di dalam Facebook serta Instagram, Combat Survival.

“Selepas bersara daripada pasukan tentera pada 2017, saya terus aktif menganjurkan kursus ikhtiar hidup ini.  Faktor utama saya mengadakan kursus ini adalah disebabkan minat dan cinta terhadap hutan,” jelasnya.

Antara ilmu yang diketengahkan oleh lelaki berketurunan Iban itu menerusi kursus ikhtiar hidup termasuk cara mencari sumber air, makanan, api, tempat berlindung dan keselamatan di
dalam hutan.

Katanya, semua ilmu tersebut sangat penting dalam usaha meneruskan kelangsungan hidup sekiranya terperangkap dalam hutan khatulistiwa di negara ini.

“Tubuh manusia ini mempunyai limitasi seperti tiga minggu tanpa makanan, tiga hari tanpa air, tiga jam
dalam suhu ekstrem dan tiga minit tanpa bekalan oksigen. Kalau lebih daripada hukum ini, seseorang itu boleh mati.

“Jadi, kita perlu memanfaatkan sumber yang ada di dalam hutan. Tinggal kita tahu atau tidak, cara untuk
guna atau tidak sahaja. Mereka yang ada ilmu ikhtiar hidup, pasti boleh teruskan hidup.

“Misalnya, api untuk memasak dan mengekalkan suhu badan boleh dihasilkan secara primitif menggunakan batu, buluh dan rotan. Sumber air pula boleh didapati daripada pokok pisang
hutan dan rotan manau,” jelasnya.

CARA memasang perangkap juga diajar agar haiwan hutan dapat dijadikan sumber makanan untuk meneruskan hidup sekiranya tersesat di belantara

Dia menambah, perkara utama yang perlu diketahui dalam ilmu ikhtiar hidup adalah mengenal pasti pokok-pokok beracun di dalam hutan.

Jelasnya, jumlah pokok beracun di dalam hutan negara ini tidak terlalu banyak, namun ia ada dan perlu
diketahui supaya tidak tersalah langkah.

“Saya tidak akan ajar peserta mengenai buah dan umbut yang boleh dimakan. Sebaliknya, mereka akan
didedahkan dengan pokok, buah dan umbut beracun kerana jumlahnya tidak banyak.

“Beracun di sini bermaksud boleh membawa mudarat seperti kegatalan dan maut. Jadi, apabila jumpa pohon beracun ini di dalam hutan, mereka perlu elak.

“Antara pohon beracun yang harus dijauhi adalah jelatang dan kabung kerana boleh membawa kegatalan. Umbut pinang hutan dan oleander juga beracun,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Sofoan menyarankan supaya mereka yang ingin memasuki hutan supaya sentiasa
membuat persediaan rapi dan membawa peralatan bersesuaian.

Katanya, peralatan yang dibawa dapat menjamin kelangsungan hidup seseorang di dalam hutan apabila
berlaku sesuatu di luar jangkaan seperti tersesat.

“Orang kita ini saya pelik, masuk hutan kadang-kadang tidak bawa apa-apa.

“Dalam asas ikhtiar hidup, terdapat lima barang asas yang perlu dibawa jika ingin masuk ke hutan.
“Antaranya parang, pemetik api, flysheet atau buaian, lampu suluh dan peti kecemasan.

“InsyaAllah, dengan ada benda-benda ini, kita dapat teruskan hidup di dalam hutan,” ujarnya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI