SETIAP hari boleh dikatakan terdengar di sana sini berlakunya pencerobohan haiwan liar ke kawasan kampung, jalan dan kawasan pertanian di seluruh negara.
Ada juga kejadian yang berakhir dengan tragedi sehingga menyaksikan kawasan rumah dimusnahkan gajah liar dan penduduk terpaksa berlari menyelamatkan diri.
Malah, ada kejadian yang mengundang maut seperti kejadian di Lipis yang menyaksikan seorang pemuda Orang Asli maut selepas dikejar dan ‘dikerjakan’ oleh gajah dengan dilambung dan dipijak haiwan liar berkenaan.
Dalam kejadian di Pos Sinderut itu mangsa Andy Yok Manin, 15, maut selepas diserang gajah ketika mangsa bersama-sama ahli keluarga berada di kebun durian kira-kira pukul 10 pagi.
Difahamkan sebelum itu gajah berkenaan telah dihalau dari kampung bersebelahan sebelum memasuki kampung berkenaan dan menyerang mangsa yang sedang mencari buah durian.
Kes pencerobohan gajah ke kawasan pertanian dan kampung terus berlaku dan semakin kerap berlaku, persoalannya sampai bilakah konflik haiwan dan manusia ini boleh berakhir dengan keadaan yang berlaku pada masa ini.
Dengan banyak kawasan hutan yang ditukar kepada kawasan pertanian seperti kawasan kelapa sawit dan sebagainya adakah isu ini akan berakhir.
Sehingga hari ini bagaikan tiada satu solusi yang tuntas, hanya menangkap dan memindahkan gajah dan kejadian terus berlaku melibatkan kerugian dan kehilangan nyawa.
Pengarah Institute of Planetary Survival For Sustainable Well-Being Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Planet IIUM), Prof. Ts. Dr. Muhammad Lokman Md. Isa berkata, ketiadaan makanan akibat sumber makanan asal haiwan berkenaan tiada menyebabkan haiwan berkenaan menceroboh ke kawasan manusia untuk mencari makanan.
Katanya, dalam mengatasi isu ini, menu asal haiwan termasuk gajah perlu dikembalikan agar mereka tidak akan mengganggu tanaman diusahakan manusia dan masuk ke kawasan kampung untuk mencari makanan.
Beliau berkata, bukan setakat menangkap dan memindahkan gajah tetapi satu kawasan zon neutral yang ditanam dengan tanaman sesuai untuk makanan binatang liar harus segera diwujudkan bagi mengatasi isu ini dan memastikan ‘survival’ haiwan liar untuk tatapan generasi akan datang.
Isu konflik antara haiwan dan manusia ini tidak boleh dipandang sepi dan harus diberi perhatian kerana ia akan memberikan kesan kepada kehidupan manusia dan haiwan.
Tindakan segelintir pihak yang rakus memusnahkan hutan dan habitat demi mendapat kekayaan bukan sahaja memusnahkan haiwan berkenaan, malah memberikan kesan kepada kumpulan manusia lain yang tidak bersalah yang tinggal di kawasan berhampiran.
Janganlah tunggu sampai lebih banyak nyawa terkorban dan haiwan liar itu satu hari nanti hanya boleh dilihat melalui gambar sahaja.
Bertindak segera dan hentikankan penebangan hutan serta kenakan tindakan tegas kepada perosak alam.
Siapa sebenarnya yang menceroboh, haiwan atau manusia. Kembalikan semula ‘menu’ mereka atau kita bersedia menjadi menu baharu.














