fbpx

Kanser paru-paru memiliki kadar ‘survival’ terendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEMUDAHAN rawatan kanser perlu diperbanyakkan terutamanya di lokasi-lokasi yang mempunyai populasi padat. – Gambar hiasan

SEJAK krisis pandemik Covid-19 melanda dunia, pesakit kanser telah berhadapan dengan cabaran besar dalam aspek penjagaan kesihatan mereka.

Kelewatan perkhidmatan saringan serta rawatan akan memberi kesan kepada pesakit.

Mereka yang berdepan dengan kanser paru-paru juga tidak terlepas daripada masalah tersebut.

Disebabkan sifat kanser paru-paru yang agresif secara semula jadi, sesetengah pesakit akan mati akibat penyakit berkenaan.

Pakar Perunding Onkologi Klinikal di Pusat Perubatan Subang Jaya, Selangor, Dr. Matin Mellor Abdullah berkata, kanser paru-paru kekal sebagai kanser ketiga paling biasa berlaku di Malaysia.

Menurutnya, antara 2012 hingga 2016, sekitar 90 peratus kes kanser paru-paru dikesan pada pesakit di peringkat akhir iaitu peringkat tiga atau empat.

Katanya, disebabkan itu, ia mempunyai kadar ‘survival’ terendah.

“Beban penyakit ini juga tinggi seperti kadar survival relatif lima tahun kanser paru-paru hanya 11 peratus.

“Ia merupakan kadar yang paling rendah antara semua jenis kanser di Malaysia dengan median survival hanya 6.8 bulan,” katanya.

DR. MATIN MELLOR

Tambahnya, sebelum wabak Covid-19, kanser tersebut telah menyumbang kepada purata 16,000 kematian setiap tahun antara 2012 hingga 2016 di Malaysia.

Pada 2019, kanser paru-paru menjadi penyebab kelima kematian dalam kalangan rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, Dr. Matin Mellor menjelaskan, terdapat halangan utama bagi penjagaan kanser paru-paru seperti kurang kesedaran dan pemahaman tentang masalah tersebut.

Tegasnya, kurang pemahaman dan kesedaran menyebabkan individu atau komuniti tidak mendapatkan pemeriksaan kanser secara teratur bagi mengurangkan risikonya.

“Selain itu, kekurangan akses untuk diagnosis tepat pada masanya turut menjadi halangan. Kanser paru-paru juga memerlukan pakar perubatan dan ahli radiologi intervensi untuk mendapatkan sampel. Ia bagi membolehkan ahli patologi menjalankan ujian mengesahkan kanser.

“Pesakit juga berhadapan dengan masalah akses kepada rawatan inovatif kerana tidak terdapat secara meluas di hospital awam ekoran kosnya yang tinggi,” jelasnya.

KANSER paru-paru merupakan penyebab kelima kematian dalam kalangan rakyat Malaysia pada tahun 2019. – Gambar hiasan

Tambahnya, pesakit yang tinggal di luar bandar seperti di Sabah, Sarawak dan sesetengah kawasan di Semenanjung tidak mempunyai kemudahan penjagaan kanser yang berkualiti tinggi.

Malah, mereka memerlukan masa dan wang untuk mendapatkan rawatan di tempat yang menyediakan kemudahan tersebut.

Oleh itu, kemudahan rawatan kanser sepatutnya disediakan di semua hospital terutamanya di lokasi-lokasi yang mempunyai populasi padat.

Melalui pendekatan itu, pesakit tidak perlu melakukan perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan.

Di samping itu, pesakit boleh mendapat sokongan daripada keluarga demi kesejahteraan mereka.

Jika pesakit menerima penjagaan kanser yang berkualiti dan rawatan diperlukan, mereka boleh memanjangkan kelangsungan serta kualiti hidup dapat dipertingkatkan.

Dalam pada itu, Dr. Matin Mellor berkata, berlaku peningkatan individu bukan perokok yang disahkan menghidap kanser paru-paru.

Katanya, keadaan itu telah mengubah landskap dan cara pakar kesihatan mengurus atau merawat pesakit.

“Oleh demikian, selain pencegahan dan langkah saringan, kita juga harus memastikan bahawa pesakit menerima rawatan tepat pada masanya bagi memerangi masalah ini.

“Sistem kesihatan tidak boleh meninggalkan mereka yang didiagnosis dengan kanser paru-paru lanjutan.

“Ini kerana beban kanser yang tidak dirawat adalah lebih mahal dari segi pembiayaan dan kehidupan kepada pesakit,” terangnya.

Selain itu, beliau melihat pendekatan inovatif yang baru muncul untuk rawatan kanser mengambil kira genetik individu, persekitaran dan gaya hidup untuk memperibadikan pendekatan kaedah merawat.

Dengan mengkaji setiap pesakit secara teliti, kita boleh padankan rawatan yang sesuai kepada setiap pesakit dan menjauhi percubaan serta kesilapan pendekatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI