fbpx

Warga emas hilang ditemui meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAYAT Md. Isa Panjang Abdullah dijumpai pekerja ladang kelapa sawit di Ayer Papan, Tanjung Tualang selepas dilaporkan hilang sejak Rabu lalu.

KAMPAR – Operasi mencari seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang di kawasan ladang kelapa sawit di Ayer papan, Tanjung Tualang dekat sini sejak kelmarin terjawab, apabila ditemui sudah meninggal dunia hari ini.

Mayat mangsa, Md. Isa Panjang Abdullah, 86, dijumpai pekerja ladang pada pukul 7 petang kira-kira 10 kilometer dari rumahnya di Kampung Ayer Papan selepas lebih 57 jam dilaporkan hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah, Mohd. Norshah Shahri berkata, mayat mangsa dijumpai dalam keadaan terbaring dan lengkap berpakaian dalam ladang sawit berkenaan.

“Pasukan mencari mengalami kesukaran untuk tiba di lokasi penemuan yang hanya boleh dilalui motosikal.

“Mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,”katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Mohd. Norshah, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan selepas menerima laporan kehilangan mangsa pada pukul 11.30 pagi semalam.

Katanya, operasi yang dibantu Unit K9 itu dijalankan dalam radius enam kilometer bermula dari rumah mangsa di Kampung Air Papan ke kawasan ladang kelapa sawit.

“Operasi yang masuk hari kedua hari ini disertai 48 orang anggota bomba dan agensi penyelamat lain,” katanya.

Md. Isa dilaporkan keluar bersendirian dengan berjalan kaki kira-kira pukul 9 pagi kelmarin dan tidak pulang ke rumah sehingga hari ini.

Difahamkan, anak lelaki mangsa ada menjumpai sebelah selipar bapanya di kawasan kebun sawit berhampiran sebelum membuat laporan polis untuk bantuan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI