Irfan Khairi bukanlah nama asing di Malaysia, bahkan popularitinya sehingga tertulis dalam buku teks sekolah. Irfan pernah mencipta fenomena sekitar tahun 2005 kerana berjaya bergelar jutawan muda atau jutawan internet. Dia cuma memerlukan tiga tahun untuk bergelar jutawan pada usia 25 tahun menerusi bisnes online.
Kini Irfan memiliki lebih 15 perniagaan berstatus multijuta. Irfan, 44, berkata, sejak bergelar jutawan hampir 20 tahun lalu, status jutawan itu kekal sampai hari ini dan kini sudah lima tahun berada di Dubai mengusahakan perniagaan dan mempunyai pejabat di sana.
Baca artikel penuh di www.kosmo.com.my
Azan subuh yang berkumandang kala kakinya pertama kali menjejaki Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada tahun 2014 bagai bisikan intuisi yang memberi jawapan kepada satu persoalan.
Sudah lama dia memikirkan di mana sayap perniagaannya hendak dilebarkan setelah melakar sukses di Malaysia, namun sukar untuk dibulatkan jawapan.
Anak Ipoh, Perak itu sebelum ini sering dijemput ke kota-kota besar di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Perancis, Sepanyol, India dan Jepun untuk menyampaikan ceramah perniagaan internet dan mengendalikan latihan, tetapi jemputan luar yang satu ini berbeza kerana buat pertama kalinya di sebuah negara Islam.
“Itu kali pertama saya dengar azan di lapangan terbang memandangkan sebelum ini saya hanya dipanggil ke negara-negara bukan Islam. Azan itu bagai satu ‘panggilan’ bahawa Dubailah jawapan yang saya cari.
“Saya sudah cukup berjaya di Malaysia, jadi apa lagi yang boleh saya buat? Saya ingin mencabar diri dan keluar dari zon selesa untuk membuka perniagaan di luar negara pula, tetapi saya tidak tahu di mana sehinggalah saya ke Dubai pada tahun 2014, seterusnya mula bina perniagaan di sana sejak 2016,” kata Irfan Khairi yang ditemu bual secara panggilan video kepada K2 baru-baru ini.

Irfan bukanlah nama asing di Malaysia, bahkan populariti namanya sehingga tertulis dalam buku teks sekolah darjah dua, lima dan tingkatan empat. Irfan pernah mencipta fenomena sekitar tahun 2005 kerana berjaya bergelar jutawan muda atau jutawan internet sewaktu dunia maya itu masih terlalu ‘hijau’. Dia hanya mengambil masa tiga tahun untuk bergelar jutawan pada usia 25 tahun menerusi bisnes online khidmat rekaan grafik.
Bagaimanapun, itu dahulu. Sekarang Irfan atau mesra dipanggil IK bukan sekadar jutawan bahkan memiliki lebih 15 perniagaan bertaraf multijuta. Kongsi Irfan, 44, yang merupakan pemilik jenama IrfanKhairi.com atau Irfan Khairi Sdn. Bhd. (IKSB) sejak bergelar jutawan hampir 20 tahun lalu, status jutawan itu kekal sampai hari ini.
Perniagaan Irfan kini antaranya berkaitan khidmat rundingan serta latihan bagi perniagaan online dan internet, agensi media sosial, fotografi, videografi, pelancongan serta jualan produk sejadah dan kurma.
Memilih Dubai sebagai tempat bermastautin dan melebarkan sayap perniagaan, Irfan kini boleh tersenyum puas setiap kali ke pejabatnya yang berlatarbelakangkan panorama menakjubkan Marina Dubai.
“Pemandangan itu selalu beri inspirasi kepada saya dan buat saya zahirkan syukur kerana teringat segalanya bermula dengan perniagaan kecil sahaja kira-kira 20 tahun lalu.
“Saya mulakan bisnes online rekaan grafik dengan cuma mendapat tiga pelanggan pada tahun pertama bisnes,” katanya yang tinggal di Dubai bersama isteri dan empat anaknya.
Dubai, kota yang sinonim dengan kemewahan sering dianggap tempat orang berada bahkan banyak selebriti antarabangsa yang memiliki rumah di sana seperti Shah Rukh Khan, Will Smith dan David Beckham.
“UAE ialah tempat yang sesuai bagi orang luar kerana kita tidak berasa asing di sini. Ini kerana, 90 peratus penduduknya ialah ekspatriat dan masyarakat antarabangsa, manakala penduduk asalnya cuma 10 peratus. Di sini ‘pendatang’ majoriti,” katanya.
Irfan berkata, biarpun tinggal di Dubai sejak lima tahun lalu, dia sering berulang alik ke Malaysia setiap bulan untuk meninjau perkembangan bisnesnya di tanah air, bahkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali pertama Mac tahun lalu dia sekeluarga turut ‘tersangkut’ di Malaysia selama tiga bulan.
Menyedari perkembangan hidup lelaki fenomena ini yang sudah berdekad tidak disoroti media, Irfan turut meragui adakah media masih ingat akan dirinya.
“Saya biasa-biasa sahaja, sama macam dahulu, cuma ada misai, jambang sikitlah. Baju yang awak pakai itu pun mungkin lebih mahal,” selorohnya kepada penulis di perantaraan skrin komputer.

Bagi mereka yang mengikutinya di media sosial seperti Instagram, pasti menyedari bahawa Irfan kini kerap berkongsi tentang keindahan dan kecanggihan Dubai, bahkan dia yang semakin dikenali dengan tagline ‘boleh tak macam tu?’ tidak lokek berkongsi ilmu perniagaan secara percuma.
“Walaupun semakin kerap keluar di media sosial, saya boleh dikatakan masih seorang introvert. Kerana introvert juga saya dahulu mengusahakan perniagaan online sebab tidak selesa bersemuka dengan orang dan malu untuk beri tahu harga.
“Tapi, mahu tak mahu, kita perlu kikis rasa malu untuk sampaikan ilmu kepada orang. Saya terpanggil untuk berkongsi sisi menakjubkan Dubai agar turut memberi inspirasi kepada peniaga lain untuk membuka bisnes di luar negara seperti saya.
“Saya seronok berkongsi ilmu percuma biarpun saya memang ada program bimbingan bisnes selama 9 bulan dengan bayaran RM3,000. Ilmu itu milik Allah Taala, jadi kita kongsikanlah,” katanya.
Menyentuh mengenai bisnes, pada awalnya perniagaannya di Dubai pada tahun 2016 adalah menjurus kepada khidmat rundingan atau bimbingan perniagaan online sebagaimana kejayaannya di Malaysia tetapi selepas setahun dia mula terlibat dengan bisnes jualan produk sejadah dan kurma.
“Orang mungkin fikir nak jadi jutawan kena jual produk macam makanan kesihatan atau kosmetik, sebenarnya jual apa pun boleh termasuk sejadah. Produk sejadah saya kini terjual di seluruh dunia antaranya AS, Australia, Rusia, Mexico, Jepun, Arab Saudi dan di mana sahaja negara di dunia,” katanya.

Irfan berkata, sejak di bangku sekolah lagi, dia memang telah bercita-cita untuk menjadi jutawan. Ditanya apa yang menyeronokkan kehidupan sebagai jutawan, Irfan berkata:
“Seronoknya ialah kita tidak tengok harga kalau beli barang. Belanja sahaja untuk mendapatkan apa yang terbaik. Kalau naik kapal terbang, kita tidak kisah untuk naik pesawat yang mahal, tetapi dalam masa sama juga kita tidak berkira berapa banyak pun harta untuk diinfakkan,” katanya.
Seperkara yang boleh dianggap masih sama tentang Irfan yang penulis kenali dan temu bual hampir dua dekad lalu ialah keperibadiannya.
Biarpun seorang yang kaya-raya Irfan lebih dikenali sebagai seorang yang suka merendah diri dan bersederhana. Bahkan, dia lebih banyak menonjolkan kemewahan Dubai dan persekitarannya, bukan kekayaan peribadinya.
“Bagi saya, kekayaan bukan untuk ditunjuk-tunjuk tetapi seharusnya menjadikan kita lebih tunduk. Semakin kita kaya, kita harus semakin dekat kepada-Nya.
“Saya sangat bersyukur dengan kurniaan rezeki Allah. Kekayaan yang bertambah juga buatkan hidup saya semakin tenang di sini,” katanya.














