fbpx

Ahli perniagaan rugi RM191,000, ditipu pelaburan mata wang kripto

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KOTA BHARU – Seorang ahli perniagaan tidak sempat menikmati keuntungan malah masih belum mendapat pulangan modal apabila mengalami kerugian sebanyak RM191,000 selepas diperdaya sindiket pelaburan mata wang kripto.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, siasatan mendapati, lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu dipercayai tertarik untuk menyertai pelaburan berkenaan selepas diperkenalkan oleh rakannya yang merupakan seorang wanita tempatan awal bulan ini.

Menurutnya, suspek telah menjanjikan pulangan 1 peratus sehari mengikut tempoh waktu yang telah ditetapkan sebelum membuat beberapa transaksi pelaburan berjumlah RM242,000 ke empat akaun bank milik suspek dalam tempoh seminggu.

“Transaksi itu dilakukan untuk membeli mata wang kripto bagi membuat pelaburan melalui satu aplikasi yang dimuat turun melalui laman web pelaburan berkenaan. Status pelaburan yang dibuat mangsa juga boleh dipantau melalui aplikasi e-wallet.

“Dalam tempoh kurang tiga minggu, mangsa telah berjaya mengeluarkan wang pulangan pelaburan berjumlah RM51,000 dengan membuat pindahan melalui aplikasi e-wallet pelaburan berkenaan ke akaun bank miliknya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Shafien, bagaimanapun, mangsa mendapati aplikasi menerusi telefon pintar dan laman sesawang pelaburan berkenaan tidak lagi boleh diakses pada 18 Oktober lalu.

Ujarnya, mangsa yang telah mengalami kerugian sebanyak RM191,000 telah membuat laporan polis kerana mengesyaki dirinya telah ditipu.

“Sehubungan dengan itu, polis mengingatkan kepada masyarakat supaya berhati-hati dalam membuat pelaburan secara dalam talian atau bersemuka. Orang ramai perlu sentiasa membuat semakan dengan pihak Suruhanjaya Sekuriti, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Bank Negara Malaysia.

“Orang ramai juga boleh menggunakan aplikasi Check Scammers CCID untuk menyemak nombor akaun bank dan nombor telefon yang pernah digunakan dalam jenayah komersil,” katanya.

Tambah Shafien, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI