fbpx

Sanggup menyamar polis untuk selamatkan diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video memaparkan suspek (kanan) mengaku bertugas di Balai Polis Kajang dan turut mengambil dadah.

KAJANG – Tindakan seorang lelaki sanggup menyamar polis demi menyelamatkan diri membawa padah apabila dia ditahan di kawasan deretan rumah kedai berhampiran Taman TTDI Grove, dekat sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menerima maklumat awam pada pukul 2.29 pagi berhubung satu kejadian perselisihan faham antara dua pihak mengenai isu hutang sewa rumah di lokasi sama.

“Kejadian tersebut dapat dileraikan orang awam yang berada di lokasi dan secara tiba-tiba seorang lelaki tempatan yang turut terlibat dalam kejadian itu mengaku dirinya anggota polis dengan mengeluarkan kad kuasa untuk melindungi diri.

“Oleh kerana curiga dengan suspek, orang awam terbabit telah menghubungi polis dan semakan pihak polis yang tiba di lokasi mendapati suspek bukan anggota polis, sebaliknya hanya menggunakan kad kuasa polis palsu,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut terhadap suspek yang berusia 32 tahun itu telah menemui beberapa peralatan polis seperti sepasang baju operasi polis tertera nama suspek, kasut, tali pinggang dan satu unit gari.

“Suspek masih dalam tahanan reman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan untuk melihat sama ada suspek terlibat dalam kes menyamar polis sebelum ini,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 89 Akta Polis 1967 kerana menyamar polis dan memiliki barangan peralatan polis yang tidak sah disisi undang-undang.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 50 saat di media sosial memaparkan suspek mengaku sebagai anggota polis yang bertugas di Balai Polis Kajang.

Dia turut mengaku pernah mengikuti latihan menembak di Pasukan Gerakan Am (PGA) serta mengambil dadah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI