fbpx

Peniaga barangan lusuh rugi RM15,000 ditipu ‘scammer’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang peniaga barangan lusuh kerugian RM15,000 selepas diperdaya untuk membuat sumbangan kepada Pertubuhan Kebajikan Nurqaseh PDRM Malaysia (Perqaseh) bagi memudahkanya mendapatkan lesen menjalankan perniagaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Mahidisham Ishak berkata, pihaknya telah menerima satu laporan polis daripada seorang lelaki berhubung kejadian pada 15 Oktober lalu.

“Lelaki berkenaan mendakwa telah dihubungi oleh seorang lagi lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai di jabatan kerajaan awal April lalu yang ingin meminta mangsa membuat sumbangan ke tabung Perqaseh.

“Suspek mendakwa, urusan mangsa mendapatkan lesen bagi menjalankan perniagaan barangan lusuh miliknya akan menjadi mudah sekiranya membuat sumbangan tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Mahidisham, mangsa telah membuat sebanyak tiga transaksi berjumlah RM15,000 dalam bentuk tunai kepada empat individu yang mengaku sebagai wakil Perqasih sejak April lalu.

“Bagaimanapun, mangsa sedar dirinya telah ditipu selepas masih tidak menerima lesen seperti yang telah dijanjikan.

“Siasatan awal pihak polis dengan pihak Perqaseh mengesahkan mereka tidak menerima sebarang sumbangan dalam bentuk tunai dan susulan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujar beliau.

Mohd. Mahidisham menambah, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah melantik mana-mana individu, syarikat atau persatuan dan tidak pernah menetapkan sebarang sumbangan untuk menerima, memproses atau meluluskan permohonan bagi mendapatkan lesen barangan lusuh.

“Buat permohonan lesen mengikut saluran yang ditetapkan serta tidak melalui individu atau pertubuhan tertentu dan segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya ada menerima tawaran atau mempunyai sebarang maklumat tentang perkara ini,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI