fbpx
Mohd. Yusri (dua dari kiri) bersama Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintenden Mohd. Shamsuri Mohd. Nor (kiri) mengadakan pemantauan SOP di kawasan Tanah Rata, hari ini.

Polis periksa pengunjung Cameron Highlands

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS – Sekatan jalan raya (SJR) mengejut atau ‘snap check’ diadakan di sempadan negeri ke Cameron Highlands bagi memastikan tiada individu tanpa suntikan vaksinasi melepasi masuk ke kawasan peranginan itu.

SJR mengejut itu diadakan di Jalan Tapah-Cameron Highlands, Jalan Gua Musang-Lojing dan Jalan Simpang Pulai-Blue Valley.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pemeriksaan dijalankan secara berkala dalam usaha memastikan kehadiran pengunjung dari negeri lain ke kawasan pelancongan ini ditapis dari awal.

“Kita tidak mahu mereka yang belum divaksin atau tidak lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 mengambil kesempatan masuk ke sini susulan kebenaran rentas negeri.

“Pemantauan dari udara menggunakan dron juga dijalankan di kawasan tumpuan ramai yang boleh menyebabkan kesesakan luar biasa,” katanya.

Beliau ditemui selepas melakukan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kawasan tumpuan ramai di Tanah Rata di sini hari ini.

Menurut beliau selain rakaman gambar, hebahan awam secara terus dari udara turut dilakukan bagi memastikan pengunjung patuh kepada SOP.

“Pasukan pemantau pematuhan SOP Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands juga telah digerakkan bagi membuat pemantauan di restoran, hotel dan lokasi tumpuan ramai.

“Bagi pengunjung yang menginap di hotel atau inap desa, mereka perlu mengisi butiran diri pada borang pematuhan SOP yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya. -K! ONLINE

POPULAR