fbpx
Lia tidak sabar untuk menyambung pengajian dalam bidang pendidikan sekali gus bergelar seorang pendidik tidak lama lagi.

Lia Aziz gembira sambung belajar, mahu jadi guru muzik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Penyanyi Lia Aziz teruja apabila berpeluang menyambung pengajian pada peringkat diploma dalam bidang muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) sekali gus mengejar cita-citanya untuk bergelar seorang guru suatu hari nanti.

Lia atau nama lengkapnya Noralia Farzana Abd. Aziz, 18, ketika dihubungi Kosmo! Online memberitahu, sejak di bangku sekolah lagi, dia memang bercita-cita untuk menjadi seorang pendidik, namun tidak tahu bidang yang sesuai dengannya.

“Waktu kecil dahulu memang saya bercita-cita hendak menjadi guru tapi tidak tahu dalam bidang apa.

“Bila sudah berkecimpung dalam bidang muzik dan jadi penyanyi, saya jadi jatuh cinta dengan bidang ini (muzik) dan teringin untuk menjadi seorang guru muzik suatu hari nanti,” ujarnya.

Kata penyanyi yang popular menerusi lagu Kucu Kuca itu lagi, dia ada menghantar permohonan di beberapa pusat pengajian lain dan diterima masuk ke sana, namun akhirnya memilih untuk melanjutkan pengajiannya di Aswara.

“Saya pilih Aswara sebab pusat pengajian ini berada di bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia.

“Lagi pula terdapat beberapa artis lain juga merupakan lepasan dari Aswara. Di sini (Aswara) saya bukan sahaja diajar tentang teori muzik, tetapi juga latihan amali,” jelasnya yang kini sedang mengikuti kelas vokal klasik untuk semester satu.

Disoal tentang perancangannya pada masa hadapan, Lia berkata selepas menamatkan pengajian pada peringkat diploma, dia mahu menyambung pengajiannya pada peringkat Ijazah Sarjana Muda dan mengumpul sebanyak mungkin ilmu dalam bidang muzik.

“Lebih tinggi kita belajar, lebih banyak ilmu yang kita akan dapat. Bagus juga untuk perancangan saya bergelar seorang guru muzik suatu hari nanti,” jelasnya.

Selepas tiga minggu bergelar seorang pelajar, Lia berkata buat masa ini dia hanya mengikuti kelas secara dalam talian dan akan belajar secara bersemuka selepas kampus dibuka nanti.

“Alhamdulillah, pihak pengurusan saya juga sudah sedia maklum tentang hal ini dan mereka akan susun jadual saya supaya tidak mengganggu antara karier sebagai penyanyi dan juga pelajar,” jelasnya yang turut mendapat sokongan penuh daripada keluarga. – K! ONLINE

POPULAR