fbpx
trak pikap 4x2 ini istimewa kerana lebih ringan daripada 4x4 berikutan sesetengah komponen dikurangkan.

Isuzu D-Max Auto Plus trak pikap untuk dalam bandar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ISUZU merupakan jenama yang tidak asing lagi dalam pengeluaran kenderaan berat dan pacuan empat roda sejak sekian lama.

Baru-baru ini Isuzu Malaysia telah memperkenalkan varian baharu model D-Max yang dikenali sebagai Auto Plus dengan pacuan dua roda.

Penulis difahamkan, Isuzu Malaysia menawarkan varian terbaharu ini kerana hanya 28 peratus pengguna trak pikap di negara ini yang kerap menggunakan sistem pacuan empat roda. Varian pacuan dua roda atau 4X2 ini boleh dikatakan paling ideal untuk dimiliki ramai kerana menawarkan rintangan golekan yang rendah dan sistem pacuan yang ringkas berikutan pengurangan beberapa komponen.

Pengurangan komponen itu secara tidak langsung menjadikan trak pikap ini lebih ringan dan sangat sesuai dijadikan kegunaan urban serta pemanduan jarak jauh bagi pemilik yang kerap memandu di permukaan berturap.

Antara komponen yang dikeluarkan seperti transfer case, differential depan dan sistem pacuan sampingan. D-Max Auto Plus 4×2 itu hanya mempunyai berat 1,830 kilogram (kg) berbanding pacuan empat roda dengan berat tambahan 85kg.

Jika dilihat dari sudut spesifikasi, model ini sama seperti varian D-Max Standard 4×4 1.9L Auto. D-Max Auto Plus 4×2 dikuasakan dengan enjin 1.9 liter yang menghasilkan 150PS pada 3,600rpm dan 350Nm tork antara 1,800 hingga 2,600rpm.

Sebagai makluman, enjin ini telah menerima pengiktirafan global untuk prestasinya walaupun dalam kapasiti yang kecil. Kuasa yang dihasilkan itu dihantar ke roda belakang melalui kotak gear automatik enam kelajuan.

PADA sisi kenderaan ini tertampal pelekat 4×2 Auto Plus untuk membezakannya dengan versi 4×4.

Nisbahnya sama seperti varian pacuan empat roda dan telah dipadankan dengan teliti untuk menepati karakter prestasi dinamik enjin. Hantaran tork yang mendatar dan respons pendikit yang anjal menawarkan prestasi meyakinkan, baik untuk pemanduan di lebuh raya atau perjalanan di laluan berbukit.

Varian itu juga akan menjadi satu-satunya penawaran 4×2 dalam kelasnya yang datang bersama transmisi automatik.

Sebelum ini trak pikap lazim dilihat sebagai kenderaan asas selain digunakan bagi menjalankan tugas tanpa mengira keadaan. Banyak trak pikap juga sangat sinonim dengan kebisingan, asap tebal serta kabin yang tidak selesa. Atas faktor itu jugalah Isuzu membina enjin baharu seperti ini.

Keadaan seperti itu sebenarnya sudah lama ditangani oleh para pengeluar seperti Isuzu yang telah banyak melabur untuk membangunkan sebuah trak pikap yang menawarkan tahap keselesaan lebih tinggi, canggih dan selesa tanpa perlu mengorbankan kekuatan terasnya.

Generasi ketiga Isuzu D-Max adalah cerminan paling sempurna terhadap pembangunan yang dimaksudkan itu.

Jenteranya telah berkembang menjadi sebuah trak pikap yang menonjol, bergaya dan maju, sekali gus menyanggah tanggapan lama terhadap pikap trak di Malaysia. Tahap keseluruhannya juga kini jauh lebih baik, tetapi masih mengekalkan DNA Isuzu dalam rekaan serta binaannya.

RUANG dalam trak pikap ini penuh dengan elemen keselesaan sekali gus menyangkal tanggapan tipikal mengenai ruang dalam trak pikap yang biasanya kurang selesa.

Ketika kehidupan sekarang yang mencabar, model ini secara tidak langsung dapat mengurangkan beban bakal pemilik kerana menawarkan pakej lebih mampu milik tetapi tetap pada kemampuan agak sama dengan 4×4 dan berpenampilan menarik.

Model itu juga memanfaatkan Isuzu Dynamic Drive Platform untuk memberikan kestabilan menakjubkan dengan rintangan anjal yang cemerlang.

Untuk mendapatkan kemampuan tampungan beban yang baik bagi varian ini, kadar tetapan suspensi standardnya menggunakan jenis double wishbone di depan dan jenis 3-leaf semi-elliptical spring di belakang.

Isuzu D-Max Plus 4×2 1.9L turut dilengkapi dengan ciri bantuan pemanduan elektronik seperti Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Agihan Daya Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem

Kawalan Cengkaman (TCS), Bantuan Mula Mendaki (HSA) dan Bantuan Menuruni Curam (HDC).

Bantuan elektronik termaju dan struktur badan dengan kejuruteraan jitu membolehkan Isuzu D-Max meraih penarafan lima bintang Program Penilaian Kereta Baharu ASEAN (ASEAN NCAP), menjadikannya antara trak pikap paling selamat dalam pasaran ketika ini.

Pada bahagian luaran, model ini mewarisi penampilan dinamik model Isuzu D-Max generasi ketiga kabin berkembar. Varian ini hadir bersama gril kelabu, lampu utama projektor Bi-LED dengan DRL LED serta lampu kabus bersepadu di bucu bampar.

PAPARAN bersaiz tujuh inci pada bahagian hadapan kenderaan pacuan dua roda ini.

Pemegang pintu dalam warna badan pula menjadikan penampilannya lebih kemas, membolehkan garis badannya lebih menonjol. Pemijak sisinya juga bergaya dan sangat praktikal yang datang sekali dengan alas ruang barangan di belakang.

Model ini menggunakan rim aloi bersaiz 17 inci dengan tayar radial 255/65 yang menawarkan pemanduan mantap dan tahan lasak.

Bahagian sisinya ditampal dengan pelekat 4X2 Auto Plus untuk membezakan antara varian 4×4 dan 4×2.

Selain itu, model itu turut dilengkapi dengan kamera undur yang dipasangkan pada pemegang pintu ruang belakang. Ciri-ciri itu ditambah pada varian Auto Plus 1.9L untuk mudahkan lagi kendaliannya dan digandingkan dengan skrin multimedia bersaiz tujuh inci.

Bukan satu, tetapi empat sensor undur yang dipasang pada bampar belakang untuk lebih keyakinan.

Lima pilihan warna ditawarkan untuk varian ini termasuklah Splash White Solid (putih), Mercury Silver Metallic (perak), Onyx Black Mica (hitam), Sapphire Blue Mica (biru) dan Valencia Orange Metallic (oren).

Tempahan Isuzu D-Max Auto Plus kini dibuka dan penghantaran akan dilakukan pada awal November depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN