fbpx
SITI NORDIANA

Nana bertegas, jangan keluarkan kenyataan menyeleweng, tak berasas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Penyanyi Siti Nordiana menegaskan agar tiada mana-mana pihak mengeluarkan kenyataan tidak berasas berkenaan kes saman fitnah melibatkan dirinya ke atas lima individu termasuk dua rakan seperjuangannya iaitu Lan Solo dan Syurga.

Pemilik nama lengkap, Siti Nordiana Alias itu berkata demikian menerusi satu kenyataan kepada Kosmo! Online sebentar tadi.

“Saya ingin merujuk kepada perbicaraan atas talian secara Zoom pada pagi ini (15 Oktober). Saya sendiri telah hadir dan bersiap sedia untuk dipanggil sebagai saksi pertama plaintif.

“Setelah mendengar perbincangan kesemua pihak, hakim menyarankan semua pihak untuk cuba menyelesaikan kes ini di luar mahkamah.

“Saya juga ingin menegaskan agar tiada mana-mana pihak mengeluarkan kenyataan tidak berasas dan menyeleweng sehinggga kes ini diputuskan oleh mahkamah agar tidak mengganggu prosiding perbicaraan penuh yang akan dijalankan sekiranya penyelesaian gagal dicapai,” kata juara program realiti, Gegar Vaganza musim kedua itu.

Hari ini, Kosmo! Online melaporkan, kes saman yang berpunca atas dakwaan memfitnah penyanyi itu dalam platform media sosial Instagram, berkemungkinan cuba diselesaikan secara baik.

Perkara itu berikutan peguam-peguam yang mewakili plaintif dan defendan memaklumkan akan cuba menyelesaikan kes saman tersebut.

Sepatutnya hari ini merupakan kali pertama perbicaraan kes saman itu melalui aplikasi Zoom di Mahkamah Sesyen Sivil namun ditangguhkan.

Ketika prosiding, peguam Azlan Abdul Razak yang mewakili Lan Solo atau nama sebenarnya Mohd. Razlan Mohamed Yusof, isterinya Nur Sheila Hassim dan Zuraidah Badron atau Syura, memohon supaya perbicaraan ditangguhkan.

Terdahulu, pertelingkahan Siti Nordiana bersama lima sekawan termasuk Lan Solo dan Syura Badron memasuki episod baharu apabila selebriti itu menfailkan saman berjumlah RM2.5 juta. – K! ONLINE

POPULAR