SERDANG – Mayat seorang lelaki tempatan ditemui terbaring berlumuran darah dengan kesan tetakan pada beberapa anggota badan dalam sebuah bilik di Jalan Kuyuh, Taman Serdang Utama, Seri Kembangan, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, pihaknya telah menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 6.07 petang daripada orang awam sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Tinjauan di lokasi mendapati, kejadian berlaku di sebuah bilik sewa di sebuah rumah papan satu tingkat yang tidak berpagar di mana terdapat beberapa buah bilik yang dibuat menggunakan papan sebagai dinding untuk disewakan.
“Si mati yang berusia 43 tahun ditemui dalam keadaan terbaring dengan kesan darah pada kepala dan badan di sebuah bilik kecil bersebelahan bilik tidurnya dan terdapat beberapa kesan tetakan pada kepala, rusuk kanan, belakang badan dan kedua-dua belah lengannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, susulan penemuan tersebut, Pasukan Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Unit Anjing Pengesan (K9) telah dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan siasatan.
“Siasatan awal mendapati, mangsa merupakan seorang lelaki tempatan yang tidak pernah berkahwin serta tinggal berseorangan di bilik sewa berkenaan sejak lima tahun lepas dan bekerja di sebuah kedai perabot sejak 20 tahun lalu.
“Senjata yang digunakan masih dikesan pihak polis dan sehingga kini seramai 11 individu telah ditahan selepas diambil keterangan yang terdiri daripada sembilan warga tempatan dan dua warga asing,” ujar beliau.
Siasatan berhubung kejadian dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929














