fbpx

Wi Ha-joon si pencuri pandangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WI HA-JOON

LEDAKAN populariti. Dua perkataan tersebut cukup menggambarkan susur perjalanan karier pemilik nama Wi Ha-joon yang kini menjadi dambaan ramai wanita seluruh dunia.

Siapa sangka, meskipun tidak memegang watak utama, kehadirannya menerusi Squid Game memegang watak protagonis iaitu seorang pegawai polis bernama Hwang Jun-ho berjaya mencetuskan fenomena.

Si kacak di sebalik topeng

Menyorot perjalanan kariernya, aktor berusia 31 tahun itu memulakan pendakiannya dalam industri hiburan Korea Selatan sekitar tahun 2012.

Bergerak perlahan, Ha-joon berjaya menyerlahkan potensinya sebagai aktor berkaliber selepas muncul dalam filem popular Midnight pada tahun lalu dengan memegang watak seorang lelaki psiko.

WI HA-JOON menyifatkan populariti yang diraihnya hari ini merupakan kejutan terbesar dalam perjalanan kariernya sebagai seorang aktor.

Bercerita mengenai dirinya yang menjadi kegilaan ramai selepas Squid Game, Ha-joon terharu dengan semua sokongan bahkan tidak menyangka mampu meraih perhatian ramai.

“Pertama kali membaca skrip Squid Game, saya sudah jatuh hati dengan jalan ceritanya dan hasilnya sangat menakjubkan.

“Saya sangat berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada naskhah hebat ini. Terima kasih kepada pengarah, Hwang Dong-hyuk kerana memberi peluang dan kepercayaan kepada saya untuk memegang watak Jun-ho,” katanya.

Dalam masa sama, dia juga berbangga apabila berpeluang membintangi sebuah karya hebat di sisi bintang terkenal seperti Lee Jung-jae dan Park Hae-so.

MEMEGANG watak sebagai pegawai polis dalam naskhah Squid Game, Ha-joon menyifatkan karakter tersebut sangat dekat dengan realiti dirinya yang merupakan seorang pencinta keadilan.

Sama seperti anak seni lain, aktor yang pernah membintangi drama Something In The Rain itu sangat mementingkan kelainan dalam setiap naskhah lakonannya.

“Perasaan ingin mencuba pelbagai jenis karakter dan membawa kelainan dengan menonjolkan pelbagai sisi lakonan sangat kuat dalam diri saya.

“Justeru, setiap kali mendapat peluang tersebut, saya akan lakukan sebaik mungkin agar kepuasan dapat dicapai sekaligus memberi impak luar biasa kepada para penonton,” ujarnya.

Disoal tentang karakter Do-sik dalam Midnight dan Jun-ho (Squid Game), dia berpendapat kedua-dua watak berkenaan sangat bertentangan antara satu sama lain.

“Watak Jun-ho lebih sesuai untuk saya, malah ramai yang memberitahu bahawa itulah peranan dan karakter yang sangat sesuai dengan keperibadian saya,” katanya yang sangat menekankan aspek keadilan dalam kehidupan.

RENUNGAN tajam dan senyuman seksi merupakan antara daya penarik yang ada pada Wi Ha-joon sehingga dia digelar ‘pencuri pandangan’ oleh peminatnya.

Graf populariti mencanak

Muncul dalam sebuah drama popular boleh dikatakan tiket segera untuk meraih populariti dan itu yang berlaku kepadanya ketika ini.

Ramai berpendapat pandangan mata yang tajam dan senyuman seksi merupakan aset utama yang ada pada jejaka kelahiran wilayah Jeolla itu sehingga dia digelar sebagai ‘si pencuri pandangan’.

Bukti paling ketara tentang takat didih populariti yang sedang menggelegak ketika ini boleh dilihat daripada jumlah pengikut Instagramnya. Pengikutnya meningkat lebih empat kali ganda dan kini mencecah 5.1 juta dalam tempoh kurang sebulan.

“Sejak Squid Game ditayangkan, saya dapat merasakan bahang populariti.

“Setiap hari sangat menakjubkan lebih-lebih lagi melihat peningkatan jumlah pengikut Instagram yang sangat mendadak.

WI HA-JOON mengakui populariti Squid Game telah mencipta satu beban besar sehingga menjadi penanda aras kariernya pada masa depan.

“Sebenarnya rasa segan kerana ramai cakap saya seorang yang seksi. Namun, dalam masa sama bersyukur kerana kehadiran saya dalam industri kini disedari ramai,” katanya yang mengakui fobia dengan sebarang aktiviti melibatkan air.

Apabila sudah meraih perhatian umum, Ha-joon tidak menafikan perkara tersebut sedikit membebankan dirinya pada masa akan datang.

“Perhatian yang diraih hari ini sedikit sebanyak mewujudkan satu beban dan tanggungjawab besar buat diri saya.

“Tanpa sedar, Squid Game telah meletakkan satu penanda aras yang tinggi terhadap saya. Jadi, untuk memilih karya yang akan dilakonkan pada masa akan datang juga akan sedikit sukar,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI