fbpx
SHAH JAHAN (kiri) didakwa atas 13 pertuduhan menipu wang bakal bapa mentuanya dan seorang pesara guru di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini. -Foto ZULHANIFA SIDEK

Peniaga online tipu bakal mentua dijel, sebatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Perbuatan seorang peniaga online yang menipu bakal bapa mentuanya terbalas selepas dihukum penjara tiga tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Mohd. Izdham Naim Che Ani menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh, Shah Jahan Sazali, 36, mengaku bersalah atas enam pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Tertuduh didakwa menipu Mad Rozali Botok, 65, dengan menjalankan perniagaan emas yang tidak wujud sehingga menyebabkan mangsa menyerahkan wang RM24,200.

Kesalahan itu dilakukan pada 9 Ogos hingga 12 September lalu di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Kubang Kerian di sini.

Mahkamah menetapkan hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan dan diarahkan berjalan serentak.

Sementara itu, di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar, Shah Jahan turut mengaku bersalah atas tujuh lagi pertuduhan menipu mangsa yang sama dan seorang pesara guru.

Tertuduh didakwa memperdaya Mad Rozali dengan mendakwa menjalankan perniagaan emas yang tidak wujud menyebabkan mangsa menyerahkan wang RM16,000 di lokasi sama pada 28 Jun hingga 5 September lalu.

Bagi satu lagi pertuduhan, Shah Jahan didakwa memperdaya Husin Md. Ali, 74, yang menyerahkan sebuah kereta jenis Proton Waja kepadanya untuk dibaiki.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yusnaliza Mohammad Yusoff dan Asmah Che Wan manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Intan Nor Nadhirah Ismail dan Ariyani Mohd. Amin.-K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

POPULAR